Ruslin ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, Pulau Pinang hari ini

KEPALA BATAS – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini berdepan cabaran baharu dalam usaha merawat penagih dadah apabila semakin ramai penagih dadah sintetik dikenal pasti mengalami gangguan mental atau dual diagnosis.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sepanjang Januari hingga Mac tahun ini, seramai 1,346 individu atau 27 peratus daripada keseluruhan 5,030 penagih yang berada di bawah pemantauan agensi itu di pusat pemulihan dan dalam komuniti dikesan mengalami keadaan berkenaan.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu apabila hanya 548 kes atau enam peratus daripada 9,361 penagih yang sedang menerima rawatan dikenal pasti mengalami dual diagnosis.

“Ini antara cabaran baharu kita kerana selain memberi rawatan penagihan dadah, masalah baharu timbul apabila mereka menghidap masalah mental.

“Jadi, kita perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya dalam meneruskan proses rawatan kepada mereka yang mengalami dual diagnosis ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen.

Menurut beliau, antara gangguan mental yang dikesan ialah kemurungan, halusinasi dan pelbagai keadaan yang menyebabkan seseorang penagih menjadi tidak stabil dari segi mental.

Katanya, keadaan itu turut meningkatkan risiko penagih mencederakan diri sendiri, malah ada yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri akibat halusinasi yang dialami.

Dalam perkembangan sama, Ruslin berkata, penggunaan dadah sintetik kini merangkumi 73 peratus daripada keseluruhan penagih di negara ini dengan golongan belia berusia 15 hingga 39 tahun mewakili 84 peratus.

“Pengaruh rakan sebaya, bekalan dadah sintetik yang mudah diperoleh serta masalah peribadi dan keluarga dikenal pasti sebagai faktor utama yang mendorong golongan belia terjebak.

“Sehubungan itu, AADK menambah baik modul rawatan sedia ada yang sebelum ini lebih memberi tumpuan kepada penagih dadah tradisional seperti heroin, morfin dan ganja bagi menangani trend peningkatan penggunaan dadah sintetik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast