Anggota JIM melakukan tangkapan selepas melakukan serbuan di beberapa premis sekitar Skudai, Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 50 warga asing selepas melakukan serbuan di tiga kawasan sekitar Skudai, di sini, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, Ops Selera, Ops Mahir dan Ops Minyak tersebut dilaksanakan bermula pukul 11 pagi.

“Operasi yang dijalankan hasil risikan, pemantauan dan aduan awam itu mensasarkan premis-premis yang dipercayai menjadi lokasi penggajian dan perlindungan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.

“Antara premis yang diperiksa ialah beberapa kedai makan, bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan serta sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat memproses kelapa bagi menghasilkan santan dan menjual ayam sejuk beku.

“Turut ditahan empat warga tempatan yang merupakan pengurus premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati seramai 50 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Jelasnya, mereka terdiri daripada 20 lelaki dewasa warganegara Myanmar, tujuh wanita Myanmar, tiga lelaki dewasa Indonesia, lima wanita dewasa Indonesia dan seorang kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan Indonesia.

Tambahnya, ini termasuk dua lelaki dewasa Vietnam, lapan wanita Vietnam, seorang lelaki dewasa Peru, seorang lelaki dewasa Sri Lanka dan seorang lelaki dewasa warga India.

“Kesemua tahanan berusia dalam lingkungan 10 tahun hingga 45 tahun,” katanya dan memberitahu semua mereka disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Antara kesalahan katanya, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan pas atau permit.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.

“JIM Johor menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa tanpa mengira lokasi dan waktu bagi mengesan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar peruntukan undang-undang negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Anggota JIM melakukan tangkapan selepas melakukan serbuan di beberapa premis sekitar Skudai, Johor Bahru semalam

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast