Calon Pakatan Harapan N.24 Senggarang, Onn Abu Bakar beramah mesra bersama penyokong sempena Kempen Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor di Senggarang, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 27 JUN 2026.

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar bercadang meningkatkan penganjuran Jualan Rahmah kepada tiga kali seminggu di kawasan itu.

Katanya, ia sebagai langkah segera membantu penduduk menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya membabitkan harga barangan keperluan asas.

Menurut Onn, pihaknya akan memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah kekerapan Jualan Rahmah yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus, selain melibatkan program Agro Madani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Semua bahan asas seperti ikan dan beras akan dapat ditawarkan pada harga lebih rendah. Ini merupakan langkah sementara bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui pada program ceramah kelompok di Taman Evergreen Height di Senggarang, hari ini.

Mengulas isu utama yang dibangkitkan masyarakat Cina di kawasan itu, Onn berkata, kemerosotan jualan perniagaan merupakan antara kebimbangan utama yang dihadapi peniaga ketika ini.

Beliau berkata, selain kelembapan perniagaan, penduduk turut menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan e-invois dan isu subsidi diesel yang memberi kesan kepada golongan pekebun.

“Ramai penduduk di sini terdiri daripada pekebun pisang, durian dan pelbagai hasil pertanian lain, jadi isu-isu ini memberi kesan secara langsung kepada mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, kempen pilihan raya perlu diteruskan secara konsisten sehingga hari pengundian bagi memastikan calon dapat mendekati seramai mungkin pengundi.

Menurutnya, pendekatan turun padang ke pasar dan kedai kopi untuk bertemu rakyat secara langsung menjadi tanggungjawab setiap calon bagi memahami keperluan dan mendapatkan maklum balas daripada pengundi.

“Kita akan teruskan kempen sehingga minggu ini dengan mendekati pengundi di tempat-tempat tumpuan seperti pasar dan kedai kopi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast