KUALA LUMPUR – MCA mendakwa Kerajaan Madani semakin kerap menggunakan langkah pentadbiran dan peruntukan undang-undang bagi memberi tekanan terhadap rakyat, ahli akademik serta individu yang mengkritik atau mempersoalkan dasar kerajaan.
Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low berkata, tindakan sedemikian telah mewujudkan suasana yang boleh menjejaskan kebebasan bersuara, apabila mereka yang mengkritik kerajaan berisiko berdepan siasatan, tindakan undang-undang atau tekanan pentadbiran.
Bahkan, dakwanya, pendekatan berkenaan berpotensi menghalang rakyat daripada menyuarakan pandangan secara terbuka dan menjalankan peranan untuk memastikan kerajaan terus dipertanggungjawabkan.
Kenyataan ini merujuk kepada kes membabitkan Exco Pendidikan Tinggi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah yang didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 25 Jun lalu selepas mengeluarkan kenyataan bahawa universiti awam didakwa menjual tempat kepada golongan berada dan puluhan ribu pelajar memasuki institusi pengajian tinggi melalui “pintu belakang” tanpa melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU).
Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Lawrence mendakwa tindakan terhadap Haim Hilman menimbulkan persoalan sama ada kerajaan memilih menggunakan mekanisme perundangan untuk menjawab kritikan berbanding memberi penjelasan secara telus serta menjawab kebimbangan rakyat berasaskan fakta dan bukti.
“Haim Hilman adalah seorang ahli akademik dan tokoh awam yang berpengalaman dalam bidang pendidikan tinggi, memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Portsmouth, United Kingdom serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Strategik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kini merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra,” katanya.
Menurut Lawrence, kenyataan Haim Hilman menegaskan bahawa sebuah demokrasi yang sihat memerlukan ruang untuk perbezaan pendapat, kritikan dan perbahasan, selain menyifatkan kritikan sebagai peluang untuk kerajaan menilai semula dasar, memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu tadbir urus.
“Sebagai kerajaan yang memerintah, kerajaan mempunyai platform rasmi, sumber dan saluran komunikasi yang mencukupi untuk menjawab kritikan tanpa perlu menggunakan tekanan melalui undang-undang atau pentadbiran.
“Kerajaan perlu menghentikan tindakan yang dilihat mengekang suara berbeza pendapat dan kembali mengutamakan prinsip dialog terbuka, ketelusan serta akauntabiliti.
“Rakyat Malaysia seharusnya bebas membincangkan isu awam, mempersoalkan dasar kerajaan dan mengemukakan pandangan alternatif tanpa rasa takut. Kritikan membina sepatutnya diterima sebagai pemangkin kepada penambahbaikan, bukannya dihukum atau didiamkan,” menurut beliau. – MalaysiaGazette
















