BATU PAHAT – Model Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini menjadi contoh kepada beberapa negara yang mahu membangunkan pusat transformasi digital komuniti selepas menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai rakan kongsi pusat transformasi digital oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengiktirafan itu membuktikan fungsi NADI telah berkembang jauh daripada sekadar pusat internet atau kafe siber luar bandar kepada hab pembangunan digital yang menawarkan pelbagai program dan kemahiran kepada masyarakat.
Menurut beliau, NADI kini menyediakan pelbagai modul termasuk saringan kesihatan, latihan kemahiran seperti membaiki telefon pintar, fotografi serta program keusahawanan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Ini yang menyebabkan pihak antarabangsa seperti ITU mentauliahkan dan menerima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta NADI sebagai rakan kongsi pusat transformasi digital.
“Ini satu pengiktirafan yang besar dan banyak negara lain sedang melihat serta cuba mencontohi model seperti ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Parit Kemang di Parit Botak, Senggarang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, terdapat NADI yang menawarkan kelajuan internet sehingga 1 Gigabit sesaat (Gbps), sekaligus menunjukkan keupayaan infrastruktur digital yang disediakan di pusat berkenaan.
Beliau berkata, minat terhadap model NADI turut dizahirkan oleh Timor-Leste yang bakal menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11.
“Apabila kita menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN yang ke-11, mereka melihat beberapa perkara yang ingin dipelajari.
“Malah, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani dan kita akan membawa model ini untuk dilaksanakan di Timor-Leste. Itu salah satu contoh negara lain yang cuba mencontohi program NADI,” katanya. – MalaysiaGazette
















