Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan Jalan Serampang, Tebrau. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Prestasi positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan dapatan kaji selidik terbaharu Merdeka Center dilihat mampu menjadi pemangkin kepada peluang Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustapha berkata, walaupun tinjauan tersebut dijalankan lebih awal, namun pihaknya menerima dapatan itu secara positif.

“Kita menerima baik kaji selidik dan pandangan tersebut. Ia juga bagus daripada sudut gerak kerja kita apabila melihat dapatan itu, maka kita melaksanakan intervensi dalam perkara-perkara yang boleh meningkatkan lagi sokongan.

“Ia bukan sahaja terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi juga kepada Parti Keadilan Rakyat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Keadilan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dapatan kaji selidik Merdeka Center yang meletakkan Anwar sebagai pemimpin politik paling mendapat sokongan rakyat dengan kadar sokongan 52 peratus, manakala 42 peratus responden berpandangan negara berada di landasan yang betul.

Dr. Zaliha berkata, keyakinan itu turut disokong oleh momentum yang semakin positif terhadap PH di Johor sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Apabila kita bermula dengan Konvensyen Harapan Johor pada bulan Mei, kita melihat gelombang itu berterusan daripada selatan, tengah hingga utara Johor.

“Malah ketika pengisytiharan calon PH di Gambir baru-baru ini, kita menyaksikan kehadiran melebihi 15,000 orang. Ini memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap PH semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh kempen, PH akan terus memberi fokus kepada penerangan mengenai pencapaian Kerajaan Persekutuan serta dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita akan terus turun ke lapangan bertemu pengundi dan menerangkan apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dengan bersandarkan data serta fakta.

“Itu membuktikan kita bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan seluruh jentera PH supaya tidak terlalu selesa dengan perkembangan positif itu kerana usaha mendekati rakyat perlu dipertingkatkan sehingga hari pengundian.

“Kita tidak boleh selesa. Kita mesti terus bekerja, memperkenalkan calon dan menjelaskan tawaran yang akan dibawa kepada rakyat sekiranya PH diberi mandat mentadbir Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast