KEPALA BATAS – Sindiket dadah antarabangsa kini dikesan memanipulasi perkembangan teknologi digital bagi memperluaskan rangkaian pengedaran bahan terlarang melalui pelbagai platform komunikasi dan transaksi kewangan tanpa sempadan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, situasi itu menjadikan ekosistem jenayah dadah semakin kompleks, bersifat hibrid serta sukar dikesan, sekali gus memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih moden dan berasaskan risikan.
Katanya, Malaysia turut berdepan cabaran sama apabila ancaman dadah dan bahan terlarang masih menjadi isu keselamatan dan kesejahteraan utama negara.
“Mengikut statistik 2025 seramai 191,832 penyalah guna dan penagih dadah direkodkan berbanding 192,857 orang pada tahun 2024, iaitu penurunan sebanyak 0.5 peratus.
“Walaupun menunjukkan sedikit penurunan, angka ini masih membimbangkan dan menuntut komitmen serta tindakan yang lebih bersepadu, menyeluruh dan berskala nasional daripada semua pihak,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman.
Teks ucapan itu dibacakan pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 di Dataran Sungai Muda di sini, hari ini, yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh.
Saifuddin berkata, trend semasa menunjukkan dadah sintetik jenis amphetamine-type stimulants (ATS) seperti syabu, ekstasi dan pil kuda terus mendominasi kes penyalahgunaan dadah di negara ini.
Beliau berkata, sehingga Mac 2026, seramai 73,611 individu atau 72.92 peratus daripada keseluruhan kes dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah melibatkan bahan jenis ATS.
“Negeri-negeri sempadan seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah terus mencatat kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini.
“Pulau Pinang berada di kedudukan keenam dengan kadar 757 orang bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding kadar nasional sebanyak 560 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Menurutnya lagi, trend semasa turut menunjukkan penyalahgunaan dadah kini tidak lagi tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya semakin menular ke kawasan luar bandar, institusi pendidikan dan tempat kerja.
Tambah beliau, berlaku peralihan daripada dadah tradisional seperti heroin dan ganja kepada dadah sintetik termasuk methamphetamine, syabu, pil kuda, ekstasi dan ketamin.
“Selain itu, turut dikesan peningkatan penggunaan kanabis sintetik, cecair vape yang dicampur bahan psikoaktif serta penyalahgunaan ubat preskripsi untuk tujuan rekreasi.
“Perkembangan itu menunjukkan usaha membanteras dadah memerlukan pendekatan lebih menyeluruh termasuk penggunaan analitik data raya dan kecerdasan buatan (AI),” katanya. – MalaysiaGazette
















