GENEVA – Switzerland mencatat suhu tertinggi yang pernah direkodkan bagi bulan Jun apabila bacaan mencecah 38.8 darjah Celsius di bandar Basel, sekali gus memecahkan rekod 38 darjah Celsius yang dicatatkan di lokasi sama sehari sebelumnya.
Perkhidmatan cuaca kebangsaan Switzerland, MeteoSwiss, menerusi platform X berkata, gelombang haba terus berlanjutan dengan beberapa stesen di seluruh negara merekodkan suhu tertinggi baharu, bukan sahaja bagi bulan Jun malah turut mengatasi rekod terdahulu.
Menurut MeteoSwiss, suhu 38.8 darjah Celsius direkodkan pada pukul 3 petang waktu tempatan di stesen Basel/Binningen, menjadikannya suhu tertinggi pernah dicatatkan di lokasi itu sejak rekod pengukuran bermula pada tahun 1897.
Rekod tersebut mengatasi bacaan 38 darjah Celsius yang direkodkan pada hari Khamis di stesen sama, sekali gus memadam rekod suhu tertinggi Jun sebelum ini yang dicatatkan pada 1947.
MeteoSwiss turut memberi amaran bahawa suhu pada Sabtu berkemungkinan lebih tinggi, dengan bacaan antara 38 hingga 39 darjah Celsius dijangka berlaku.
Malah, suhu sehingga 40 darjah Celsius di Basel tidak dapat diketepikan.
Jika keadaan itu berlaku, ia akan menjadi kali pertama suhu mencecah 40 darjah Celsius di kawasan utara Banjaran Alps di Switzerland.
Suhu tertinggi pernah direkodkan di Switzerland ialah 41.5 darjah Celsius, yang dicatatkan di Grono, wilayah Graubünden di selatan Banjaran Alps, pada 11 Ogos 2003. – Agensi
















