TAMPA – Pasukan Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) melancarkan beberapa serangan tambahan ke atas pelbagai sasaran di Iran pada 27 Jun atas arahan Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Amerika Syarikat.

Komando Pusat AS (CENTCOM) dalam kenyataan berkata, selepas serangan Amerika Syarikat (AS) semalam sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal M/V Ever Lovely, Iran diberi peluang untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata.

Namun, Iran memilih untuk tidak berbuat demikian apabila tenteranya melancarkan dron serangan sehala yang mengenai kapal tangki minyak M/T Kiku pada jam 4.30 pagi waktu Timur Amerika Syarikat (ET).

“Sebagai tindak balas langsung terhadap tindakan agresif berterusan Iran ke atas kapal perdagangan, pasukan CENTCOM melancarkan serangan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

CENTCOM berkata, pesawat tentera AS menyasarkan infrastruktur pemantauan ketenteraan, sistem komunikasi, tapak pertahanan udara, kemudahan penyimpanan dron serta keupayaan peletakan periuk api milik Iran.

CENTCOM turut memaklumkan laluan kapal-kapal perdagangan melalui Selat Hormuz masih diteruskan, manakala pasukan tentera AS kekal berjaga-jaga, mempunyai keupayaan tempur yang tinggi dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast