Calon Pakatan Harapan N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menyantuni penduduk ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Anjung Selera Cempaka, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 28 JUN 2026.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata, pemimpin perlu mudah didekati rakyat tanpa dibatasi protokol yang keterlaluan.

Menurutnya, budaya itu sudah menjadi identiti PH apabila pemimpin termasuk menteri dan pimpinan kanan turun bertemu rakyat tanpa kawalan berlebihan.

Faezuddin berkata , beliau sendiri berkempen bersama Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam suasana santai yang membolehkan rakyat berinteraksi secara langsung.

“Kita mahu rakyat mudah berjumpa pemimpin. Tidak perlu terlalu banyak protokol.

“Yang penting ialah mendengar sendiri masalah rakyat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette ketika walkabout di Anjung Selera Cempaka, Kempas, di sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad bergambar bersama Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan selepas menyantuni penduduk ketika berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Anjung Selera Cempaka, Kempas, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 28 JUN 2026.

Dalam pada itu, jika dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beliau akan menggunakan pendekatan sama bagi memastikan rakyat sentiasa mempunyai akses kepada wakil rakyat mereka.

“Walaupun jadi wakil rakyat pun boleh saja berjumpa terus dengan kita.

“Sudah tentu kena buat temu janji, nak susun masa dan sebagainya, tapi tak perlulah sampai nak ada satu protokol yang terlalu berat bagi saya,” katanya.

Sementara itu, Faezuddin tidak menolak kemungkinan pelbagai inisiatif dan kejayaan Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan rakyat kepada PH pada Pilihan Raya Negeri Johor, 11 Julai ini.

Jelas Faezuddin, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan inisiatif BUDI Madani menjadi nilai tambah kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Sekiranya kadar keluar mengundi tinggi seperti pada Pilihan Raya Umum 2022, PH berpotensi memperoleh lebih banyak kerusi di Johor.

“Semua inisiatif kerajaan ini menjadi faktor tambahan yang boleh meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PH.

“Apatah lagi calon muda yang diketengahkan PH mampu membawa pendekatan lebih proaktif dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat secara berterusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast