Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SK Seri Medan di SK Seri Medan, Jalan Besar, Seri Medan, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JUN 2026.

PARIT SULONG – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pemimpin dan ahli UMNO agar tidak melayan serangan yang dilakukan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menyokong kesemua 56 calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, kenyataan Mohd Puad yang terus mengkritik BN dan mengulas mengenai calon pada PRN kali ini merupakan pandangan peribadi beliau yang perlu dihormati tanpa mencetuskan pertelingkahan berpanjangan.

“Dr Mohd Puad mengatakan PRN kali ini dan menyentuh soal calon kita serta rakan-rakan.

“Itu pandangan peribadi beliau. Beliau adalah sahabat kita. Saya fikir eloklah jika pandangan itu berbeza, di saat ini kita letakkan tanda noktah supaya tidak timbul permasalahan di akhir nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada media ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera BN, Sri Gading di Parit Sulong, di sini, hari ini.

Calon BN dipilih dalam kalangan kroni, `partner’ main golf – Puad

Terdahulu, Mohd Puad yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menerusi hantaran di Facebook menyifatkan calon-calon BN bagi PRN Johor ke-16 sebagai kitar semula, mediocre (biasa-biasa) dan antiaspirasi anak muda.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut menyifatkan calon-calon BN itu sebagai cacamarba, tidak menarik dan tidak menggambarkan perubahan.

Beliau memetik beberapa nama yang digugurkan pada PRU-15 tetapi dipilih untuk bertanding.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SK Seri Medan di SK Seri Medan, Jalan Besar, Seri Medan, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JUN 2026.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, sebagai sahabat, beliau berharap Mohd Puad tidak lagi membangkitkan isu kerana ia hanya akan mengundang serangan balas daripada pelbagai pihak.

“Jika sesuatu isu terus dibangkitkan, sudah tentu akan ada pihak yang membalas. Apabila berlaku balas-membalas, ia bukan sesuatu yang baik.

“Saya tidak mahu perkara-perkara yang boleh mengaibkan mana-mana pihak dibangkitkan kerana sebagai orang Islam kita tidak sepatutnya membuka aib sesama sendiri,” katanya.

Ahmad Zahid turut menasihatkan seluruh kepimpinan dan jentera UMNO agar tidak melayan sebarang provokasi sekiranya isu yang dibawakan Mohd Puad terus dimainkan.

“Saya nasihatkan pihak kita, khususnya UMNO, supaya tidak membuat sebarang serangan balas jika isu-isu itu terus dibangkitkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap sokongan yang dizahirkan terhadap BN dapat diterjemahkan melalui tindakan dengan membantu semua calon gabungan itu sepanjang kempen pilihan raya.

“Baguslah kalau menyokong seluruh 56 calon BN yang bertanding di Johor.

“Saya harap kata-kata itu dapat ditunaikan dan diterjemahkan. Kita tidak mahu hanya menanam tebu di hujung bibir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast