fb Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung penutupan Unit Hemodialisis Hospital Bentong.

Dalam kenyataan hari ini, JKNP memaklumkan unit berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan perkhidmatan rawatan kepada pesakit berjalan mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan.

JKNP berkata pihaknya memahami kebimbangan masyarakat, khususnya pesakit serta waris yang bergantung kepada perkhidmatan rawatan hemodialisis.

“Untuk makluman, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan merupakan maklumat yang tidak disahkan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JKNP menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih, sebaliknya sentiasa merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Hospital Bentong, JKNP atau Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

Menurut kenyataan itu, JKNP komited memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi dari semasa ke semasa.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast