Menteri Komunikasi merangkap Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzi bercakap kepada media selepas menyaksikan perlawanan Piala Dunia Fifa bersama Calon Pakatan Harapan N.16 Sungai Balang, Soraya Badaruddin sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Pasar Awam Parit Jawa, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2026.

 

MUAR – Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan mempunyai kelebihan apabila Pas memutuskan untuk tidak membantu kempen calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Pengarah Komunikasinya, Datuk Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, ia adalah urusan dalaman dua parti terbabit walaupun bertanding di bawah satu logo Perikatan Nasional (PN).

Pertelingkahan antara Pas dan Bersatu juga katanya, tidak akan mengalih tumpuan PH dalam usaha untuk memenangi hati rakyat.

“Saya lihat ini masalah dalaman di kalangan parti-parti tersebut dan kita tidak masuk campur dalam hal mereka. Mungkin (isu itu beri sedikit kelebihan).

“Bagi Pakatan Harapan, keutamaan dan fokus adalah untuk menggerakkan jentera, memenangi hati rakyat dan membuktikan kita boleh meneraju serta mewakili rakyat dan pengundi di Johor,” katanya.

Terdahulu Fahmi Menteri Komunikasi menghadiri Program Jiwa@Komuniti Madani Sembang Santai Edisi Piala Dunia di Parit Jawa, di sini bersama calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Soraya Badaruddin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah isu dalaman Pas dan Bersatu itu memberi kelebihan kepada PH.

Jumaat lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu tidak akan menggunakan jentera pilihan rayanya untuk membantu kempen calon Bersatu pada PRN Johor

Ditanya adakah kehadiran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan memberi risiko sokongan pengundi kepada PH sekiranya peratusan keluar mengundi rendah, beliau berkata fokus utama PH adalah memastikan penyokong mereka keluar mengundi.

“Waktu ini bagi Pakatan Harapan, fokus adalah untuk mengeluarkan pengundi-pengundi yang menyokong PH.

“Untuk parti-parti lain kita bukanlah tidak endahkan, tapi mahu utamakan perhatian pada PH dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast