MUAR– Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni tidak gentar dengan keyakinan calon Perikatan Nasional (PN) yang menggambarkan beliau lebih dekat dengan pengundi Cina kawasan berkenaan.
Bekas ADUN Bukit Naning yang pernah memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 berkata, ini kerana rekod perjuangan PH selama ini membuktikan parti itu konsisten membela semua kaum tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, pendekatan PH sentiasa bersifat inklusif dengan memastikan setiap dasar dan bantuan kerajaan dapat dinikmati oleh rakyat yang layak tanpa mengira bangsa.

Tegasnya, dakwaan PN yang mahu memberi tumpuan kepada 38 peratus pengundi Cina di kawasan itu tidak mengubah hakikat bahawa rakyat akan menilai rekod sebenar sesebuah gabungan dalam memperjuangkan kepentingan semua kaum.
“Saya tidak fikir PN mampu membela masyarakat Cina kerana kita tahu komposisi parti-parti dalam gabungan itu sendiri lebih tertumpu kepada satu kaum sahaja.
“Jadi untuk kaum Cina ini, dia kena ada satu tempat untuk bernaung dan parti yang benar-benar membela semua rakyat tanpa mengira kaum termasuk Melayu, Cina dan India ini adalah Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette dalam kempen bertemu pengundi di Warong Rahim Port Ngeteh, Ayer Hitam, di sini hari ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Johor itu diminta mengulas keyakinan calon PN Bukit Naning, Mohd Radzi Amin ‘menawan’ pengundi Cina yang membentuk kira-kira 38 peratus daripada keseluruhan pengundi di DUN berkenaan.
Mengulas lanjut, Md Ysahrudin berkata,kestabilan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga penting bagi memudahkan penyaluran peruntukan serta pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat.
“Jika kerajaan negeri sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan, urusan menyalurkan bantuan dan melaksanakan pembangunan akan menjadi lebih mudah demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru semua pengundi, sama ada Melayu, Cina mahupun India, supaya terus bersatu dan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan demi memastikan pembangunan dapat diteruskan,” katanya.
Beliau turut mendakwa prestasi ekonomi negara yang semakin baik ketika ini membuktikan dasar Kerajaan Perpaduan memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus wajar diteruskan melalui sokongan pada PRN Johor. – MalaysiaGazette
















