RENGGAM – Serupa macam kampung mati, demikian gambaran menyedihkan yang diberikan oleh seorang peniaga makanan, Teo Chek Ming, 55, mengenai realiti semasa pekan Renggam yang kian lesu akibat terpinggir daripada arus kemajuan.
Sebagai jalan keluar bagi merangsang kembali pertumbuhan di kawasan luar bandar itu, Chek Ming mendesak pihak berkuasa agar mempertimbangkan pembinaan institusi pendidikan seperti kolej bagi membawa masuk komuniti baharu ke situ.

“Pembangunan yang perlu ada di sini adalah kolej. Di sini orang memang kurang, rasa hidup dekat sini pun susah sebab semua orang tua. Muda semua tak ada.
“Kalau ada kolej, boleh bawa rakyat lebih sikit ke Renggam untuk belajar. Orang belajar di ini tiap-tiap tahun boleh bertukar.
“Kalau ada kolej, ramailah orang sikit dan perniagaan boleh hidup,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Katanya, biarpun perkara itu sudah lama didengar namun realitinya tidak pernah berlaku.
“Saya berniaga pun tak bagus sekarang, yang ada di sini semuanya orang tua sahaja.
“Sebab itu kalau ada kolej, pekan ni akan lebih maju, bisnes pun boleh jalan dengan baik,” katanya.
Meletakkan harapan agar mandat yang bakal diterjemahkan dalam pilihan raya kali ini mampu mengubah landskap Renggam daripada status ‘pekan mati’ kepada sebuah transit ekonomi yang lebih dinamik, Chek Ming menantikan perubahan itu.
“Sebab sekarang Renggam ni serupa macam kampung mati, tak hidup dan susah. Pasal itulah kena kasi Renggam maju sikit.
“Harap-harap (menang selaras Persekutuan) lebih senang. Kita tengoklah macam mana, tengok ada perubahan atau tidak nanti,” ujarnya.
Tiada kemudahan asas
Seorang lagi penduduk sini menyatakan antara isu utama Renggam adalah ketiadaan peluang pekerjaan, kemudahan asas seperti mesin teler automatik (ATM) dan isu penghijrahan golongan muda yang semakin membimbangkan.
Abdul Rahim Abdul Rahman, 78, berkata, tiada apa yang berubah di pekan itu sejak dia mula menetap pada tahun 1973 melainkan suasananya yang semakin sepi daripada kerancakan ekonomi.

“Antara kemudahan paling kritikal yang menyulitkan kehidupan seharian penduduk setempat ialah ketiadaan institusi perbankan mahupun mesin ATM.
“Tak ada perubahan… bank saja, bank (yang kritikal). Auto teller (ATM) tak ada,” katanya.
Katanya, ketiadaan sektor industri atau kilang di kawasan tersebut turut menjadi punca utama mengapa golongan muda enggan menetap di Renggam dan memilih untuk berhijrah ke bandar-bandar besar demi kelangsungan hidup.
“Tak ada apa yang ada di Renggam ni, akibatnya, pekan ni lesu dan hanya orang tua macam saya duduk di sini,” katanya lagi.
Katanya, dengan keadaan itu membuatkan orang muda akan bekerja di luar derah ini.
“Anak saya dua orang kerja luar, dia tak nak duduk sini. Rumah saya ada tapi mereka tak nak beli.
“Pasal apa? Dia balik sini pasal saya ada. Kalau saya, isteri saya tak ada, dia tak balik. Jadi kat Renggam ni, rumah ada, esok lama-lama rumah pun tak ada orang duduk,” ujarnya.
Tambahnya lagi, projek perumahan baharu yang dibangunkan di kawasan sekitar Renggam agak mahal yang disifatkannya sebagai tidak mampu dimiliki oleh penduduk tempatan, selain tidak memenuhi keperluan semasa kawasan yang semakin kehilangan populasi itu.
“Habis kalau tak ada orang… buat rumah pun mahal-mahal, siapa duduk? Orang kat Renggam ni yang ada orang tua saja.
“Ramai orang kerja di Singapura, gaji pun banyak, di sini peluang pekerjaan yang terhad.
“Saya harap kerajaan Persekutuan dapat tengok keperluan mendesak untuk dan teliti semula pelan pembangunan di Renggam, khususnya dalam membawa masuk sektor pembuatan (kilang) bagi merangsang kembali ekonomi setempat, sekali gus menarik kepulangan generasi muda untuk membina masa depan di tanah kelahiran mereka.
Renggam tiada pembangunan ekonomi
Pendapat yang sama turut dilahirkan Yusof Kamarudin, 63, yang meluahkan rasa kesal dan kecewa berhubung kegagalan pihak berkuasa membawa sebarang agenda pembangunan yang bermakna ke pekan lama Renggam sejak sekian lama.

“Ingat rakyat Renggam semua bodoh ke? Semua orang berakal boleh fikir mana yang baik, mana yang tidak.”
“Mana ada ekonomi di sini, sebab tu Renggam ni nampak ‘mati’ dan kekal macam tu tanpa sebarang perubahan struktur sejak dulu lagi,” katanya.
Abdul Rahim mendedahkan, sebelum ini terdapat pelbagai janji manis yang ditabur untuk membawa institusi pendidikan tinggi ke kawasan berkenaan, namun sehingga kini ia sekadar tinggal retorik politik.
“Dulu kita ada dengar nak buat kolej, universiti… kolej jururawat. Last-last nya tak ada juga.
“Yang sebenarnya kat Renggam ni yang perlu ada adalah perumahan dan perkilangan.
“Barulah ada asset dan aset utamanya adalah penduduk. Ini tidak, tak ada pembangunan langsung. Yang ada pembangunan kat Renggam semua pergi tendang ke tempat lain. Macam itu kira tak adillah,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan slogan ‘perpaduan’ dan kestabilan pentadbiran sekiranya keperluan asas serta ekonomi rakyat di kawasan luar bandar seperti Renggam terus dipinggirkan.
Ketika ditanya sama ada gabungan pentadbiran Kerajaan Persekutuan hari ini mampu membawa anjakan serta ‘sinar baharu’ buat penduduk di Renggam dan Layang-Layang, Abdul Rahim meletakkan harapan tinggi namun dalam masa yang sama bersikap realistik.
“Harapannya macam itulah, insya-Allah boleh ada perubahan. Itu saja yang kita harap. Kalau boleh, kali ini kita memang nak tengok pembangunan (sebenar) di Renggam,” ujarnya lagi.
Bagi seorang peniaga kedai makan, Mageswary Subramaniam,45, isu utama yang menghambat penduduk di sini adalah ketiadaan kemudahan mesin ATM serta isu pengangkutan awam yang tidak efisien terus membelenggu kehidupan seharian penduduk dan komuniti peniaga di pekan Renggam.

“Saya orang berniaga, masalahnya di sini ATM tak ada, cash deposit (mesin deposit tunai) pun tak ada.
“Kami (peniaga) kalau ada urus niaga atau nak simpan wang, terpaksa pergi ke Simpang Renggam ataupun Layang-Layang yang merupakan lokasi paling dekat.
“Perkara ini menyulitkan dan kami memerlukan kemudahan perbankan ini disediakan di sini untuk memudahkan urusan harian,” katanya.
Mageswary juga berkata, jaringan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas di Renggam berada dalam keadaan yang amat mengecewakan.
“Satu lagi masalah ialah bas. Bas memang ada, tetapi jadualnya terlalu panjang.
“Kami terpaksa menunggu sehingga tiga jam sekali untuk mendapatkan bas. Sistem transport (pengangkutan) di sini memang sangat bermasalah,” jelasnya lagi.
Menyedari impak besar di sebalik sokongan politik terhadap pembangunan setempat, Mageswary menyuarakan harapan agar rombakan pentadbiran menerusi gabungan di peringkat Persekutuan dapat diterjemahkan kepada bantuan yang lebih nyata buat rakyat luar bandar.
“Saya harap wakil rakyat daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kawasan ini memberikan tumpuan serius terhadap dua isu kritikal ini sekiranya diberikan mandat.
“Saya harap Pakatan Harapan boleh tolong… tolong untuk selesaikan masalah ATM dengan masalah transport (pengangkutan) ini dengan segera,” ujarnya.

Orang muda selesa keluar negeri lain
Bagi orang muda, Muhammad Haziq Hairul Anuar, 20 melahirkan rasa sedih melihat tiada Pembangunan di tempt kelahirannya.

“Ramai Kawan-kawan saya yang mula tinggalkan Renggam. Saya pun kerja di Kluang sementara ini.
“Lepas tamat belajar nanti, saya rasa akan merantau ke negeri lain untuk bekerja,” katanya.
Katanya, Renggam sebenarnya berpotensi untuk menarik kehadiran orang luar jika diisi dengan aktiviti yang bersesuaian.
“Perlu ada perubahan di bahagian pembangunan sebab dulu sini tak ramai. Tetapi masa ada kontena dulu, pembangunan itu rancak dan ramai yang datang.
“Hari-hari ada event, jadi masa tu pun ramai orang datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai peranan Kerajaan Persekutuan hari ini yang dilihatnya baru bermula dalam fasa menggerakkan agenda membantu rakyat.
Sebagai wakil suara generasi baharu, Muhammad Haziq mengharapkan sokongan yang lebih realistik, khususnya daripada segi suntikan modal dan ruang ekonomi kepada golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan di kawasan luar bandar.
“Apa yang kerajaan Persekutuan hari ini buat, baru perjalanan sikitlah untuk membantu rakyat.
“Sebagai orang muda, apa yang saya harapkan adalah bantuan untuk peniaga-peniaga kecil. Contohnya kalau anak-anak muda di sini nak mulakan bisnes (perniagaan), kerajaan boleh tolong dan berikan bantuan,” ujarnya menutup bicara. – MalaysiaGazette
















