JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyifatkan sambutan yang diterimanya sepanjang dua hari berkempen memberi keyakinan sentimen perubahan semakin dirasai di kawasan itu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut beliau turun padang ke pelbagai lokasi termasuk pasar pagi, pasar malam, pesta makanan serta kawasan tumpuan masyarakat pelbagai kaum.
Menurutnya, kebanyakan pengundi yang ditemui bukan sahaja mengenalinya malah secara terbuka menyatakan sokongan kepada PH tanpa perlu dipujuk.
“Alhamdulillah, hari ini masuk hari kedua saya turun bertemu rakyat. Saya melihat penerimaan daripada masyarakat pelbagai kaum amat baik, sama ada di pasar pagi komuniti Cina, pasar malam, mahupun program Food Fiesta yang dihadiri ramai masyarakat Melayu.
“Ramai yang terus datang menyapa dan apabila saya minta mereka beri sokongan kepada Harapan, mereka sendiri menyatakan akan mengundi Harapan.
“Sambutan ini benar-benar di luar jangkaan saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada program Food Fiesta di Taman Daya malam ini.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, sokongan yang diterima bukan hanya datang daripada satu kelompok tertentu sebaliknya merentasi kaum dan peringkat umur.
“Saya lihat daripada kanak-kanak, golongan muda hinggalah warga emas, ramai yang mengenali saya dan memberikan reaksi positif. Ini menunjukkan rakyat mahukan seorang wakil rakyat yang dekat dengan mereka,” katanya.
Maszlee berkata, walaupun terdapat segelintir penyokong parti lain yang menyatakan pendirian berbeza, suasana kempen di Puteri Wangsa kekal harmoni dan penuh rasa hormat.
“Saya singgah di sebuah masjid dan seorang pak imam secara berterus terang menyokong saya sebagai individu tetapi tetap memilih BN. Bagi saya, itu demokrasi dan saya sangat menghormatinya.
“Inilah budaya politik matang yang kita mahu. Berbeza pilihan politik tidak bermakna kita bermusuhan,” ujarnya.
Beliau berkata, sepanjang kempen juga ramai penduduk mengajaknya menyanyi, menikmati makanan dan makan durian bersama, sesuatu yang menurutnya menggambarkan hubungan mesra antara calon dan masyarakat.

“Saya rasa inilah Johor yang kita cintai. Walaupun berbeza pandangan politik, rakyat tetap mesra dan menerima kehadiran kita dengan baik,” katanya.
Mengulas mesej yang dibawanya sepanjang kempen, Maszlee berkata, PH hadir bukan untuk golongan elit tetapi membawa suara rakyat biasa.
“Harapan mewakili rakyat. Apabila rakyat mengundi Harapan, mereka sebenarnya mengundi untuk diri mereka sendiri, untuk masa depan keluarga dan masyarakat.
“Saya berharap momentum ini akan diterjemahkan pada hari pengundian nanti dan menjadi permulaan kepada satu gelombang perubahan yang positif untuk Johor,” katanya. -MalaysiaGazette

















sokong yang pasti membawa tebah. tak payahlah nak perasan sangat