Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, Kuantan.

KUANTAN – Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh diarahkan membela diri di atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas meneliti fail hujahan dan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Bagi pertuduhan yang dikemukakan, ia tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Jenayah atau Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan dan ia dibuat selaras dengan Seksyen 61 Akta 694 SPRM. Bagi Seksyen 165 Kanun Keseksaan, ia adalah satu kesaalahan yang ditetapkan mengikut Seksyen 3 Akta 694.

“Oleh yang demikian, pertuduhan dan kertas pertuduhan yang dibacakan dan juga dikenakan terhadap OKT adalah teratur,” katanya ketika membacakan penghakiman.

Tertuduh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56 didakwa menerima suapan antara RM100 sehingga RM5,600 daripada beberapa individu sebagai dorongan melindungi pihak terbabit supaya tidak dikenakan apa-apa tindakan Polis DiRaja Malaysia atas pelbagai kesalahan seperti melindungi perniagaan refleksologi kaki, melindungi syarikat menggajikan pekerja asing, dan melindungi perniagaan yang beroperasi lebih masa.

Mohd Azhar didakwa melakukan perbuatan itu sekitar Temerloh ketika bertugas sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia berpangkat Penguasa Polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan dan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili Datuk Bob S. Arumugam dan M. Athimulan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 19 Ogos 2026 untuk sambungan bicara kes dengan tertuduh memilih memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN 

Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh hadapi 46 pertuduhan rasuah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast