JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) mengingatkan semua pihak supaya tidak membawa isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calonnya di kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menegaskan, isu yang berlaku di Selangor tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen di negeri ini.
“Kalau apa yang berlaku di Selangor, saya rasa tidak perlu dibawa sentimennya sampai ke Johor terutamanya jika isu itu berkaitan 3R dan telah diputuskan oleh pihak istana,” katanya pada sidang media selepas melakukan walkabout di sekitar Taman Bahagia, Kempas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu penternakan babi yang dibangkitkan calon Parti Bersama Malaysia (PBM) N.46 Perling, Boo Wei Han, malah presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli mempertahankan isu itu dalam Ceramah Jelajah Trak Kancil di Taman Pelangi, di sini, malam semalam.
Sebaliknya kata Faezuddin, semua calon seharusnya memberi tumpuan kepada tawaran dasar serta pembangunan negeri, bukannya memainkan sentimen yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Kita sentuh sahaja tawaran kepada rakyat dan kempen politik yang matang.
“Jangan bawa isu 3R yang boleh memecahkan masyarakat Melayu, Cina dan India dalam negara ini,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kempen tidak sihat daripada parti lawan di kerusi N.47 Kempas, beliau berkata ia berlangsung dalam suasana tenang tanpa sebarang insiden vandalisme melibatkan bahan kempen.
“Setakat ini saya belum lihat sebarang gangguan. Poster-poster yang dipasang masih berdiri tegak seperti ketika mula dipasang,” katanya.
Katanya lagi, beliau akan meneruskan siri ceramah dan program mendekati pengundi, termasuk masyarakat India di Lembah Kempas, di sini, malam ini.
“Malam ini sudah hari kedua kita mengadakan ceramah berkelompok. Semalam kita ceramah di Taman Santai. Malam ini kita akan teruskan di Lembah Kempas,” katanya.
Ditanya tentang capaian internet sepanjang program ceramah sepanjang tiga hari berkempen, beliau berkata kemudahan Internet itu berjalan dengan lancar tanpa gangguan kepada siaran langsung kempen itu.
“Capaian internet 4G dan 5G juga berada dalam keadaan baik dan tidak menjejaskan perjalanan kempen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















