KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan kapasiti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dibangunkan ketika ini mencukupi untuk menampung peningkatan jumlah penumpang sekurang-kurangnya sehingga tahun 2040 meskipun projek itu melalui semakan kos dan pengurangan spesifikasi pada 2018.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, berdasarkan unjuran semasa, jumlah penumpang harian dijangka mencecah 67,000 penumpang pada tahun pertama operasi sebelum meningkat kepada 126,000 penumpang pada 2030 dan sekitar 219,100 penumpang pada 2040.
Menurut beliau, kapasiti sedia ada yang mampu menampung sehingga 223,560 penumpang sehari adalah sejajar dengan unjuran permintaan bagi tempoh tersebut.
“Kapasiti yang ada pada hari ini ialah 223,560 penumpang sehari, iaitu bersamaan dengan apa yang diunjurkan untuk tahun 2040. Jadi, insya-Allah, harapan kita ia akan memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Janpada dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Fawwaz berkenaan membangkitkan kenyataan Kementerian Kewangan pada 2018 yang memaklumkan kos projek LRT3 dikurangkan hampir 47 peratus daripada RM36.6 bilion kepada RM16.6 bilion bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Menurutnya, semakan itu turut melibatkan pengurangan bilangan set tren daripada 42 kepada 22, pengecilan saiz depoh, perubahan reka bentuk stesen mengikut piawaian LRT serta beberapa pelarasan lain.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada langkah penjimatan tersebut akan menyebabkan LRT3 berdepan masalah kesesakan pada waktu puncak pada masa depan seperti yang dialami pengguna Laluan Kelana Jaya.
Menjawab kebimbangan itu, Hasbi berkata, unjuran kapasiti penumpang telah diambil kira ketika kajian semula projek dilaksanakan pada 2018 dan kapasiti semasa diyakini mencukupi berdasarkan pertumbuhan penumpang yang dijangkakan.
Beliau turut memaklumkan kerajaan mempunyai perancangan fasa kedua projek LRT3 yang melibatkan pembinaan lima stesen tambahan serta penambahan tujuh set tren bagi meningkatkan kapasiti apabila diperlukan.
Katanya, walaupun platform asal yang dirancang untuk enam gerabak disemak kepada empat gerabak selepas kajian dibuat, tren yang beroperasi pada peringkat awal hanya menggunakan tiga gerabak, sekali gus masih menyediakan ruang untuk penambahan kapasiti pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















