LRT3 Laluan Shah Alam

SHAH ALAM – Hari pertama operasi Laluan LRT Shah Alam hari ini menerima sambutan menggalakkan apabila ribuan penumpang mengambil peluang mencuba perkhidmatan baharu itu yang ditawarkan secara percuma selama sebulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, suasana di semua stesen sejak awal pagi menunjukkan keterujaan orang ramai apabila ramai pengguna berkongsi pengalaman mereka di media sosial.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan bercakap pada sidang media selepas selesai membuat tinjauan pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 Jun 2026.

“Hari ini adalah hari pertama kita beroperasi untuk Laluan Shah Alam. Sejak pukul 6 pagi lagi kita dapat lihat ramai yang teruja menaiki tren pertama di stesen masing-masing.

“Saya menerima banyak maklum balas positif dan video yang dikongsikan oleh pengguna. Ini menunjukkan orang ramai benar-benar teruja dengan pembukaan laluan baharu ini,” katanya dalam tinjauan media di Stesen Glenmarie 2 hari ini.

Beliau berkata, sempena pembukaan laluan itu, tambang tren dan bas perantara di Laluan Shah Alam diberikan secara percuma selama sebulan.

Menurutnya, pengguna juga boleh menggunakan pas My50, kad Touch ‘n Go atau kod QR untuk menikmati perkhidmatan berkenaan.

Laluan baharu itu melibatkan 20 stesen dengan Glenmarie 2 menjadi stesen pertukaran ke Laluan Kelana Jaya, manakala Bandar Utama menghubungkan penumpang ke Laluan Kajang.

Amir berkata, Prasarana menyediakan 44 buah bas perantara serta 40 van Rapid KL On-Demand bagi menyokong operasi Laluan Shah Alam, termasuk 13 bas dan 20 van yang beroperasi khusus di sekitar Shah Alam.

Beliau turut memaklumkan sasaran purata harian bagi tahun pertama operasi ialah 67,000 penumpang.

“Untuk hari pertama ini, saya jangkakan jumlah penumpang boleh mencecah antara 5,000 hingga 10,000 orang. Jika angka itu dicapai, saya rasa ia pencapaian yang memberangsangkan kerana hari ini merupakan hari bekerja dan hari persekolahan.

“Biasanya orang ramai memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan laluan baharu sebelum menggunakannya secara konsisten,” katanya.

Mengulas mengenai operasi hari pertama, beliau berkata, setakat ini perjalanan tren berjalan lancar dengan kekerapan sekitar lapan minit dan semua kemudahan berada dalam keadaan terkawal.

Beliau turut menjelaskan tren baharu di Laluan Shah Alam dilengkapi beberapa teknologi hijau termasuk sistem pencahayaan LED pintar yang melaras tahap kecerahan mengikut cahaya luar serta sistem penyaman udara yang menyesuaikan suhu berdasarkan jumlah penumpang.

Orang awam menggunakan perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam pada hari pertama operasi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stesen Glenmarie 2, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 29 Jun 2026.

Selain itu, tren berkenaan menggunakan teknologi regenerative braking, iaitu tenaga yang terhasil ketika membrek disalurkan semula untuk kegunaan fasiliti, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga dan menyokong operasi yang lebih mampan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast