KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri pada 26 Jun 2026 telah bersetuju untuk melanjutkan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan syarikat Ocean Infinity (United Kingdom) bagi meneruskan usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 di Selatan Lautan Hindi.
Pelanjutan ini berkuat kuasa bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan ini merupakan manifestasi komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi kerajaan dalam memberikan penutupan yang amat dinantikan oleh keluarga waris penumpang pesawat MH370.
“Pelanjutan ini mengekalkan kesemua terma dan syarat utama dalam perjanjian sedia ada termasuk penerapan prinsip “no find, no fee”. Mengikut prinsip tersebut, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat ditemui.
“Walau bagaimanapun, fi pembayaran berjumlah AS$70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke menambah, kelulusan pelanjutan tempoh ini bertujuan membolehkan baki kawasan pencarian seluas 7,428.54 kilometer persegi diselesaikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.
Langkah ini, jelasnya, turut mengambil kira komitmen kontrak komersial baharu yang diterima oleh Ocean Infinity yang memerlukan aset utama operasi sedia ada ditugaskan semula ke lokasi lain buat sementara waktu.
Penugasan dan penjadualan semula aset tersebut hanya boleh dibuat bermula November 2026 hingga April 2027 iaitu semasa musim keadaan laut tidak bergelora bagi menjamin keselamatan serta keberkesanan pencarian. – MalaysiaGazette
















