Kebajikan rakyat, bantuan kepada golongan memerlukan dan usaha menangani kos sara hidup menjadi harapan pengundi-pengundi yang menghuni rumah pangsa di sini sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.
Kawasan Rukun Tetangga Rumah Pangsa Jalan Pantai, Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 29 JUN 2026.

BATU PAHAT – Kebajikan rakyat, bantuan kepada golongan memerlukan dan usaha menangani kos sara hidup menjadi harapan pengundi-pengundi yang menghuni rumah pangsa di sini sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika ini.

Meskipun rata-rata yang ditemui mengakui pembangunan dan kemudahan di kawasan kediaman semakin baik, namun mereka tetap berharap wakil rakyat yang dipilih kelak terus mengutamakan keperluan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Seorang suri rumah, Alina Talib, 50, berkata, setiap pengundi perlu membuat pilihan yang tepat demi masa depan negara, anak-anak dan cucu.

Menurutnya, kempen pilihan raya adalah perkara biasa, namun rakyat perlu bijak menilai calon yang benar-benar mampu mentadbir dan membawa manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut berpandangan keadaan di kawasan kediamannya di Batu Pahat berada dalam keadaan baik dengan kepimpinan tempatan yang disifatkannya lebih proaktif, khususnya melibatkan golongan muda.

Alina Talib.

“Di sini beberapa penambahbaikan kemudahan seperti bumbung dan infrastruktur perumahan turut dilaksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Kawasan Rukun Tetangga Rumah Pangsa Jalan Pantai di sini, hari ini.

Baginya, rakyat Johor juga bertuah kerana menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan dan berharap keadaan itu dapat diteruskan.

Asnah Lajim, 70, pula berharap, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada golongan warga emas serta individu berpendapatan rendah.

Asnah Lajim

Katanya, kenaikan harga barang memberi kesan kepada rakyat yang tidak lagi mampu bekerja dan bergantung kepada bantuan untuk meneruskan kehidupan.

“Saya ni tinggal bersendirian selepas kematian suami. Saya sangat berharap kerajaan terus membantu rakyat yang berada dalam kesusahan, khususnya warga emas, ibu tunggal dan mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

“Bantuan kerajaan ini amat penting dalam meringankan beban kehidupan seharian,” ujarnya yang merupakan bekas pekerja pembersihan sekolah.

Bagi Anita Talib, 56, yang masih bekerja sebagai pekerja pembersihan, cabaran utama ketika ini ialah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Anita Talib

Jelasnya, dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan dengan suaminya pula yang tidak bekerja, dia mengakui bantuan sedia ada masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Katanya, kerajaan dan wakil rakyat yang dipilih perlu berlaku adil kepada semua rakyat serta menambah baik bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.

“Saya akui kawasan perumahan di sini semakin sempurna di bawah kepimpinan setempat. Tapi, keutamaan ketika ini ialah memastikan bantuan lebih menyeluruh agar rakyat tidak terus terbeban dengan tunggakan bil dan keperluan asas.

Seorang lagi suri rumah, Nor Hayati Ahmad, 56, berkata, beliau berpuas hati dengan kemudahan dan bantuan yang diterima sepanjang menetap di rumah pangsa tersebut sejak hampir 20 tahun lalu.

Menurutnya, pelbagai inisiatif termasuk jualan murah dan bantuan kerajaan banyak membantu penduduk.

“Saya berharap sesiapa sahaja yang dipilih dalam pilihan raya nanti benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat.

Norhayati Ahamad.

“Saya berpandangan, pengundi berpengalaman tidak berdepan kekeliruan dalam membuat pilihan walaupun berlaku pertandingan melibatkan parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

“Saya juga sependapat isu kebajikan rakyat dan kos sara hidup perlu terus menjadi agenda utama kerajaan selepas pilihan raya, di samping memastikan pembangunan kawasan serta bantuan kepada golongan memerlukan diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast