GEORGE TOWN – Polis menumpaskan dua pusat panggilan sindiket pertaruhan bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 yang beroperasi di dua unit kondominium di Gelugor dan Butterworth menerusi serbuan pada Jumaat serta Sabtu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, serbuan pertama di sebuah unit kondominium di Gelugor di sini, membawa kepada penahanan empat individu terdiri daripada seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 44 tahun.
Katanya, siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi bagi mengurus akaun pelanggan, menyelia transaksi serta mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian menerusi laman sesawang 137.com.
“Serbuan kedua di sebuah unit kondominium di Butterworth pula membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 41 tahun yang dipercayai mengendalikan pertaruhan bola sepak Piala Dunia menerusi laman sesawang Nova88.
“Dalam operasi itu, kita merampas wang tunai RM8,935 selain komputer, telefon bimbit, peralatan komunikasi dan pelbagai peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan perjudian dalam talian,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambah beliau, modus operandi sindiket adalah menggunakan premis kediaman sebagai pusat panggilan bagi mengurus akaun pelanggan, menerima dan memantau pertaruhan bola sepak dalam talian serta memberikan khidmat sokongan pelanggan menggunakan komputer dan telefon bimbit yang disambungkan kepada platform perjudian.
“Kesemua suspek direman sehingga 30 Jun dan 1 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Sepanjang Op Soga XI dijalankan dari 11 Jun hingga 19 Julai lalu, polis telah melaksanakan 21 serbuan di seluruh Pulau Pinang dan menahan 28 individu terlibat.
“Kita akan terus mempergiatkan Op Soga XI sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan kepada pengesanan pusat panggilan, ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian secara fizikal dan dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette















