KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sedang memperincikan senarai calon sebelum dimuktamadkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri itu pada 1 Ogos depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perincian itu diserahkan kepada Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau yang juga Presiden UMNO memberitahu, perbincangan akan turut melibatkan parti-parti komponen BN bagi menentukan kerusi yang ditandingi dan calon yang diketengahkan.
“BN Negeri Sembilan sedang memperincikan senarai calon yang akan diketengahkan. Di peringkat BN, perbincangan akan diadakan dengan parti-parti komponen BN Negeri Sembilan dan saya serahkan soal perincian itu kepada Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan tetapi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan adalah Datuk Seri Jalaluddin Alias.
“Jadi perbincangan itu akan diadakan di kalangan mereka dan ini juga melibatkan pengerusi parti-parti komponen BN Negeri Sembilan untuk menentukan kerusi-kerusi akan ditandingi dan calon-calon akan diketengahkan,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang Dan Apresiasi Kementerian Kemajuan
Desa Dan Wilayah (KKDW) Tahun 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengesahkan UMNO telah mengadakan pertemuan empat peringkat parti itu di Negeri Sembilan untuk kesiapsagaan bagi menghadapi PRN.
Menurut beliau, antara perkara ditekankan bahawa UMNO tidak akan pernah mencampuri soal perundangan terutama institusi Raja dan Dewan Keadilan Undang di Negeri Sembilan.
“Kita mesti berada di luar lingkungan berkenaan dan yang penting penyatuan antara pemimpin dan ahli di semua peringkat menghadapi pilihan raya ini.
“Dan kita juga telah beri penekanan bahawa gerak kerja yang akan kita hadapi ini berada dalam situasi luar biasa.
“Kalau dahulu dalam PRN Ke-15 kita bersama-sama parti dalam PH tetapi tidak lagi kali ini kerana itu pilihan yang dibuat UMNO dan BN Negeri Sembilan,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Proses penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pula masing-masing ditetapkan pada 18 Julai dan 28 Julai ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa pada Jumaat pada 5 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















