MUAR – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja mencetuskan persaingan antara parti politik, malah turut mewarnai perbezaan pilihan kepada sepasang suami isteri.
Situasi lucu itu dapat dilihat apabila dua warga emas yang mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning berbeza pendirian mengenai parti yang bakal dipilih pada hari pengundian, 11 Julai ini.

Bagi Kamaruddin Maarof, 66, sudah tiba masanya dia memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) Md Ysahrudin Kusni yang pernah memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
“Kali ini saya nak undi Pakatan Harapan kerana saya nak cuba parti yang baharu (lain) pula demi mahu melihat perubahan.
“Selain itu, saya berharap kerajaan yang memerintah negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan pelaksanaan pembangunan dan bantuan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini.
Menurut tukang rumah itu, beberapa perkembangan semasa termasuk penurunan harga bahan api menjadi antara faktor yang mempengaruhi pendiriannya.
“Saya memang agak kecewa sebelum ini. Jadi kali ini saya nak ubah dan anak-anak yang bekerja sebagai doktor dan guru pun akan saya ajak lakukan perubahan,” katanya yang mempunyai lima anak dan 12 cucu.

Namun, hasrat Kamarudin itu tidak dipersetujui isterinya, Noriah Kadon, 67, yang tetap teguh dengan pendirian menyokong Barisan Nasional (BN), kali ini mempertaruhkan Mohd Ghazali Sabari.
“Saya tetap BN sahaja, tak ikut (suami). Tak tahulah sebabnya memang dari dulu sampai sekarang memang BN di hati.
“Dulu pemimpin BN di kawasan ini peramah dan selalu dekat dengan rakyat. Saya memang tak ikut orang, saya tetap pilih BN tak kiralah calon Cina ke Melayu tetap undi makcik akan ke BN.
“Kalau BN atau PH nak ‘kahwin’ tu, itu biarkan mereka asalkan makcik undi BN,” katanya sambil tersenyum.
Perbezaan pilihan politik pasangan itu bagaimanapun tidak menjejaskan keharmonian rumah tangga mereka apabila masing-masing saling menghormati hak untuk memilih.
DUN Bukit Naning menyaksikan saingan lima penjuru dengan tiga lagi calon merupakan muka baharu iaitu Mohd Ghazali Sabari (BN), Mohd Radzi Amin (Perikatan Nasional) dan Iskandar Md Alias (Parti Bersama Rakyat).
Turut kembali mencuba nasib ialah calon bebas, S. Jeganathan yang pernah bertanding di kerusi sama sebelum ini namun gagal memperoleh kemenangan.
Pada PRN Johor 2022, BN menerusi Datuk Dr. Mohd Fuad Tukirin memenangi kerusi itu dengan memperoleh 5,437 undi, menewaskan Mahadzir Abu Said (PN) yang meraih 3,902 undi, Md Ysahrudin (PKR) 3,317 undi, S. Jeganathan (Bebas) 1,514 undi dan Datuk Ibrahim Shafe’e (Pejuang) 86 undi.
Bagaimanapun, Mohd Fuad tidak dicalonkan semula pada PRN kali ini.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. – MalaysiaGazette

















senang aje kalau pilih PH malam nanti tido kat sofa