Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi N.47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny mengedarkan risalah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi N.47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny mendakwa aduan berhubung longkang tersumbat di Pasar Dahlia diselesaikan sehari selepas beliau membangkitkan isu itu menerusi media sosial.

Beliau berkata, ketika turun padang di pasar berkenaan, peniaga memaklumkan masalah saliran tersumbat berlarutan hampir dua bulan walaupun beberapa aduan telah dibuat.

Menurut Salamahafifi, keadaan itu menyebabkan kawasan jualan terutama di bahagian ayam dan medan selera sentiasa digenangi air sehingga menjejaskan keselesaan peniaga dan pelanggan.

“Saya muat naik isu itu dan keesokan harinya apabila saya datang semula, kawasan tersebut sudah dibersihkan serta kering.

“Saya tidak pasti sama ada pihak berkenaan melihat hantaran saya atau tidak, tetapi yang penting tindakan telah diambil,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyantuni serta mengedarkan risalah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas.

Selain itu, Salamahafifi berkata, kemerosotan jumlah pelanggan di pasar dan isu kebersihan di kawasan perumahan antara aduan paling banyak diterima sepanjang empat hari berkempen.

Beliau berkata, peniaga di beberapa pasar memaklumkan perniagaan semakin perlahan berikutan kekurangan pengunjung.

Pada masa sama, penduduk di kawasan pangsapuri pula mengadu mengenai kebersihan, penyelenggaraan bangunan dan kemudahan awam yang tidak memuaskan.

“Terdapat blok pangsapuri yang berada dalam keadaan bersih, namun ada juga blok lain berdepan kerosakan lif dan persekitaran yang kurang terurus.

“Setiap kawasan mempunyai isu berbeza. Tugas saya ialah mendengar dan membawa suara mereka kepada pihak berkaitan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast