JOHOR BAHRU – Tindakan Pas mengarahkan para penyokong dan ahlinya memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Johor sebenarnya memberi kelebihan politik kepada Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perbuatan Pas itu dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap rakan dalam Perikatan Nasional (PN), sekali gus berpotensi mencetuskan perpecahan dalaman.
Menurut beliau, perkembangan itu menggambarkan PN sedang berdepan pelbagai masalah dalaman yang boleh memberi kesan kepada kekuatan gabungan berkenaan.
“Pada saya, ia memberi kelebihan kepada PH kerana tindakan itu merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada rakan PAS dalam PN.
“Sudah tentu ia boleh menimbulkan situasi perpecahan dalaman. PN sendiri sedang berdepan pelbagai isu dalaman dan keadaan itu memberi kelebihan kepada PH,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya berkata, menunaikan kewajipan politik Islam berkuasa memerintah hukumnya adalah wajib.
Sebelum ini angin bertiup kencang mengenai strategi licik BN Johor didakwa berpakat secara sulit dengan Pas dalam PRN Johor kali ini.
Antaranya termasuk mengarahkan pengundi dan penyokong Pas memenangkan calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN. – MalaysiaGazette
















