Zainal Ahmad didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki yang bebas dari penjara pada Februari lalu kembali menghuni penjara selepas dihukum penjara 12 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyamun beg tangan milik seorang jemaah wanita di sebuah masjid, minggu lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Zainal Ahmad, 54, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa melakukan samun terhadap beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, kad bank, kunci kereta, telefon bimbit, wang tunai RM600 serta sebentuk cincin berlian milik seorang wanita berusia 48 tahun sekali gus dengan sengaja menyebabkan mangsa berasa takut serta-merta.

Kesalahan itu dilakukan di ruang solat wanita, Masjid Kapitan Keling di sini, jam 6.15 pagi pada 24 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli mohon hukuman setimpal dan bersifat pengajaran kerana pengadu sedang solat subuh selain perbuatan itu turut mencemarkan masjid sebagai tempat suci.

Bagaimanapun, peguam Nur Adilla Zaharuddin, dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh mohon hukuman penjara daripada tarikh tangkap, selain sudah bercerai dengan isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki larikan beg tangan jemaah ketika solat Subuh ditahan

Media pada Khamis lalu melaporkan, seorang lelaki ditahan polis beberapa jam selepas dipercayai melarikan sebuah beg tangan milik seorang wanita ketika mangsa sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Kapitan Keling di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 48 tahun mengatakan kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 pagi ketika mangsa sedang menunaikan solat di ruang solat wanita masjid berkenaan.

“Mangsa menyedari suspek cuba mengambil beg tangannya lalu bertindak menghalang perbuatan itu sehingga berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri bersama beg tangan tersebut dan kerugian dianggarkan RM5,000.

“Susulan itu, polis berjaya menahan suspek berusia 54 tahun pada jam 5.27 petang hari sama di Terminal Feri Raja Tun Uda,” katanya dalam kenyataan media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast