Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad

GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditahan polis beberapa jam selepas dipercayai melarikan sebuah beg tangan milik seorang wanita ketika mangsa sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Kapitan Keling di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 48 tahun itu pukul 8.41 pagi.

Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 6.15 pagi ketika mangsa sedang menunaikan solat di ruang solat wanita masjid berkenaan.

“Mangsa menyedari suspek cuba mengambil beg tangannya lalu bertindak menghalang perbuatan itu sehingga berlaku pergelutan.

“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri bersama beg tangan tersebut dan kerugian dianggarkan RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Rozak, hasil tindakan pantas polis berjaya menahan suspek berusia 54 tahun pukul 5.27 petang hari sama di Terminal Feri Raja Tun Uda.

“Suspek dipercayai cuba melarikan diri menggunakan perkhidmatan feri sebelum ditahan. Polis turut menemui semula barangan milik mangsa yang berada dalam simpanan suspek ketika tangkapan dibuat.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast