MUAR – Barisan Nasional (BN) tidak akan terlalu selesa susulan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyeru pengundi supaya tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH), termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun menghargai kenyataan itu, BN tetap mengarahkan seluruh jenteranya bekerja keras dan tidak bergantung kepada sokongan mana-mana pihak.
“Saya ucap terima kasih kepada Tuan Guru Haji Hadi jika itu dapat diterjemahkan semasa hari mengundi 11 Julai nanti.
“Tetapi saya beritahu juga kepada jentera kita, kita mesti bekerja terus, bekerja kuat kerana dalam hidup ini kita jangan mengharapkan belas ihsan orang.
“Kita bina kekuatan kita supaya kita kuat di atas kekuatan sendiri dan kalau ada sesiapa nak membantu itu, alhamdulillah dan kita ucap terima kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kempen PRN Johor bersama penduduk di DUN Simpang Jeram bersama calonnya, Datuk Azman Ismail di sini hari ini.
Ditanya sama ada BN kini lebih selesa susulan kenyataan Abdul Hadi itu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, pihaknya tidak mengambil kira perkara tersebut sebaliknya terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan gerak kerja parti.
“Kita tak ambil kira sangatlah tentang itu. Itu sebabnya saya suruh mantapkan jentera, kuatkan gerak kerja kita.
“Jangan mengharapkan guruh di langit, tapi nanti tempayan kita pecahkan pun tak guna juga,” katanya.
Semalam, Pas menerusi kenyataan rasmi Mesyuarat Khas PAS Pusat menetapkan lima pendirian bagi menghadapi PRN Johor, termasuk menyeru pengundi supaya tidak memberikan undi kepada PH, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan BN dan PH.
Sementara itu, mengulas dakwaan ramalan terkini mendapati BN sukar mencapai sasaran memenangi 40 kerusi khususnya di kawasan ramai pengundi Cina, Mohamad menyifatkan perkara itu sebagai subjektif dan enggan membuat spekulasi.
“Itu perkara yang subjektif, jadi saya tak mahu komen (lebih) dan kita tengok 11 Julai nanti (hari mengundi).
“Tapi saya rasa kalau kita berjalan tepi kedai, kalau banyak orang keluar, maknanya itu satu bayangan yang baik kalau orang tak nak dulu dia tak nak keluar pun pada kedai.
“Tapi sekarang kita lalu, dia keluar pada kedai menyambut kita, salam. Lepas itu dia masuk semula. Jadi itu satu petanda yang positif,” katanya. – MalaysiaGazette
















