Gambar IPD Bera

KUANTAN – Dua sahabat ditahan bersama dadah bernilai RM14,134 ketika serbuan polis ke sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, Bera malam semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kedua-dua suspek merupakan seorang lelaki dan seorang wanita berusia 43 tahun itu ditahan ketika serbuan kira-kira jam 11.45 malam di rumah wanita tersebut.

“Hasil pemeriksaan menjumpai dadah disyaki jenis heroin (252.4 gram), methamphetamine (19.13 gram), pil yaba (0.93 gram) dan pil erimin 5 (5.16 gram) serta wang tunai berjumlah RM310.

“Selain itu, turut disita sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing kedua-dua suspek turut mendapati positif dadah jenis methamphetamine, amohetamine dan morphine.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 6 Jun depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Bagi kesalahan itu, boleh membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup. Dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dihukum minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast