Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi N.47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny mengedarkan risalah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jadual kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang padat mengubah rutin harian calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi N.47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny sehingga beliau kini lebih memberi perhatian terhadap aspek kesihatan dan pengurusan tenaga.

Memasuki hari keempat berkempen, Salamahafifi berkata beliau mengambil makanan tambahan seperti ginseng dan pati ayam selain memastikan mendapat rehat secukupnya bagi mengekalkan stamina sepanjang bertemu pengundi.

“Sebelum ni saya betul-betul nak bekerja. Lepas tu sekarang saya macam lebih sayang diri saya.

“Saya ambil tidur sekejap, tidur 20 minit, asalkan rehat, bila bangun dapat banyak tenaga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyantuni pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas.

Salamahafifi juga mengakui perubahan itu agak mengejutkan memandangkan sebelum ini rutin hariannya lebih tertumpu di pejabat mengendalikan tugasan dan meneliti data.

“Beberapa minggu lalu saya lebih banyak berada di depan komputer, tetapi sekarang setiap hari turun padang bertemu masyarakat.

“Walaupun penat, ia pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.

Calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) bagi kerusi N.47 Kempas, Salamahafifi Mohd Yusnaieny dan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faezuddin Mohd Puad saling bertukar risalah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kepada pengundi dan peniaga di Pasar Malam Taman Anggerik, Kempas, Johor Bahru hari ini.

Dalam pada itu, Salamahafifi menegaskan, penyertaannya dalam politik bukan untuk mengejar jawatan, sebaliknya bagi memperjuangkan suara rakyat.

Menurut beliau, selama ini ramai yang berkongsi pelbagai masalah dengannya, namun beliau tidak mempunyai saluran yang kuat untuk membawa isu tersebut kepada pihak berkaitan.

“Pencalonan dalam PRN Johor membuka peluang untuk saya menjadi penghubung antara rakyat dengan pihak berkuasa.

“Ini adalah satu bentuk perkhidmatan kepada rakyat, bukan soal status. Sekarang saya ada ruang untuk membawa suara mereka,” katanya.

Selain itu, Salamahafifi memberi jaminan akan terus menjalankan kerja-kerja kebajikan walaupun tidak terpilih sebagai wakil rakyat pada 11 Julai ini.

“Aktiviti membantu masyarakat sebenarnya saya sudah lama lakukan secara sukarela, namun jarang didedahkan kepada umum,” katanya.

Menurutnya, budaya politik hari ini memerlukan setiap aktiviti dikongsikan di media sosial dan masyarakat supaya usaha yang dilakukan dapat diketahui rakyat.

“Kalau saya tak menang, saya tetap akan terus membantu masyarakat. Selama ini pun saya buat, cuma saya tidak dihebahkan kerana saya rasa tidak perlu menunjuk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast