Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) mengakui terdapat beberapa insiden provokasi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk perbuatan merosakkan serta membakar bendera parti.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menyifatkan insiden berkenaan hanya melibatkan beberapa kawasan dan tidak menjejaskan keseluruhan perjalanan kempen.

“Ada beberapa kawasan di mana bendera kita diganggu dan ada yang dibakar.

“Tidak banyak, tetapi memang ada provokasi seperti itu. Kita anggap ia sebagai politik yang tidak matang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bilik Gerakan Utama Harapan Kempas, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat tertutup bersama calon PH di kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.

Beliau berharap semua pihak dapat mengekalkan kempen secara sihat serta menghormati proses demokrasi sehingga hari pengundian.

“Suasana pilihan raya secara keseluruhannya masih berada dalam keadaan tenang dan semua pihak yang bertanding perlu bersaingan dengan sihat,” katanya.

Ditanya tentang perjalanan PH pada hari keempat kempen PRN Johor, Fuziah mengakui masih berjalan dengan lancar di mana gerak kerja jentera dan calon kini semakin tersusun.

“Hari ini hari keempat, Alhamdulillah kita lihat jentera sudah bergerak dengan lebih tersusun.

“Gerak kerja calon juga semakin lancar dan mereka memberi fokus untuk bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan strategik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast