JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menggesa pihak lawan supaya tidak terus memainkan isu yang tidak berkaitan dengan Johor termasuk isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) itu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, isu seperti penternakan babi di Selangor tidak mempunyai kaitan dengan kepentingan rakyat Johor dan tidak wajar dijadikan modal politik.
“Saya nasihatkan supaya menjauhkan diri daripada memainkan isu yang tiada kena-mengena.
“Tiada kena-mengena isu Selangor dengan isu Johor…Johor ini adalah isu negeri Johor,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat tertutup bersama calon PH di kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd Puad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu penternakan babi yang dibangkitkan calon Parti Bersama Malaysia (PBM) N.46 Perling, Boo Wei Han dalam kempen pertama PRN Johor dalam Jelajah Trak Kancil di Taman Pelangi, di sini, pada Ahad.
Malangnya Presiden PBM, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil mempertahankan calonnya susulan kritikan terhadap ucapan sulung Wei Han.
Sehubungan itu, Fuziah menyeru pengundi supaya membuat penilaian secara bijaksana terhadap calon yang bertanding berdasarkan pemahaman mereka terhadap keperluan dan realiti Johor, bukannya retorik politik tidak berkaitan.
“Jadi pandai-pandailah pengundi buat keputusan yang bijak tentang calon yang tak tahu geografi,” lagi. – MalaysiaGazette
















