Gambar : IPD Bera

KUANTAN – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai jenis rokok tidak bercukai bernilai lebih RM47,000 dalam satu serbuan di tempat letak kenderaan berhampiran sebuah restoran di Triang, Bera petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, ia hasil serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera kira-kira pukul 5 petang hasil maklumat yang diterima.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Land Cruiser Prado yang dinaiki seorang lelaki berbangsa Cina dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemukan beberapa kotak mengandungi sembilan jenis rokok disyaki tidak bercukai bernilai keseluruhan RM47,015.

“Polis merampas semua rokok berkenaan serta dua telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Zulkiflee menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menyimpan, memiliki atau mengedar barang tidak bercukai dan barangan larangan.

Tegasnya, pihak polis akan terus mempergiat pemantauan serta membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang di daerah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast