Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kematian anak angkat perempuannya dengan mencubit, menampar dan menggigit mangsa sehingga lebam pada muka dan keseluruhan badannya, tahun lalu.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Subrina Imran, 39, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 31 Julai tahun lalu.

Wanita itu didakwa menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan itu di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras, di sini di antara pukul 10 malam, 29 Julai tahun lalu dan 7 pagi, keesokannya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki merupakan suami kepada tertuduh bahawa anak angkatnya tidak sedarkan diri.

Susulan itu, polis ke tempat kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan terlentang serta tidak bernyawa di dalam tempat tidur bayi di sebuah bilik rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian muka dan keseluruhan badan mangsa.

Tertuduh juga mendera mangsa dengan mencubit, menampar dan menggigit bayi berkenaan serta menganiayainya dengan cara menghisap dadah jenis syabu serta menghembuskan ke dalam mulut mangsa.

Polis turut menemukan perbualan WhatsApp yang dihantar tertuduh kepada suaminya yang menyatakan perbuatannya terhadap mangsa dengan kata-kata ‘Aku Kasi Lebam Budak Itu Separuh Mati’.

Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin memohon hukuman berat dan setimpal memandangkan kesalahan itu telah meragut nyawa seorang bayi berusia tujuh bulan yang tidak berupaya untuk mempertahankan dirinya.

“Pada usia itu, mangsa bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk mendapatkan perlindungan, kasih sayang dan penjagaan.

“Namun, individu yang sepatutnva menjaga dan melindungi mangsa telah menjadi punca kepada penderitaan dan kematiannya. Fakta kes juga menunjukkan mangsa telah dicubit, ditampar dan digigit oleh tertuduh.

“Perbuatan itu jelas menunjukkan suatu penderaan fizikal yang berulang dan disengajakan terhadap bayi berkenaan.

“Hukuman yang dijatuhkan hendaklah memberi mesej yang jelas bukan sahaja kepada tertuduh, malah masyarakat di luar sana bahawa penderaan terhadap kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Subrina yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengidap penyakit jantung, selain mendakwa telah ditinggalkan suaminya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast