Naib Canselor UMT bergambar Bersama para penerima bantuan.

KUALA NERUS, TERENGGANU– Seramai 150 pelajar baharu program Asasi dan Diploma Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima manfaat menerusi Bantuan Baucar Makanan Dapo MAIDAM@UMT, manakala 22 pelajar lagi menerima Bantuan Bingkas Kasih HEPA sebagai sokongan kewangan awal bagi memulakan pengajian di universiti.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) melalui Seksyen Tajaan dan Kebajikan itu memberi tumpuan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), sejajar
dengan komitmen universiti dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa dipelihara sejak hari pertama mereka melangkah ke kampus.

Menerusi program Dapo MAIDAM@UMT, pelajar menerima baucar makanan bernilai RM10 sehari yang boleh digunakan di kafeteria terpilih di seluruh kampus sepanjang tempoh pengajian.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara UMT dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2024 bagi memastikan mahasiswa yang memerlukan memperoleh akses kepada keperluan makanan secara berterusan.

Selain itu, seramai 22 pelajar turut menerima Bantuan Bingkas Kasih HEPA berupa bantuan awal yuran pengajian sebanyak RM200 seorang bagi membantu mengurangkan beban kewangan ketika memulakan
kehidupan sebagai mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, kebajikan mahasiswa kekal menjadi keutamaan universiti dalam usaha mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang kondusif, inklusif dan menyokong pembangunan holistik mahasiswa.

“UMT komited membangunkan ekosistem pembelajaran yang mengutamakan kesejahteraan mahasiswa. Bantuan yang disalurkan bukan sekadar meringankan beban kewangan, malah menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kecemerlangan akademik, pembangunan sahsiah dan pengembangan potensi diri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Ikrar Pelajar Baharu yang turut menyaksikan penyampaian bantuan berkenaan oleh Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim di Dewan Sultan Mizan, UMT
pada 24 Jun 2026 lalu.

Pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan UMT dalam memperkukuh agenda Universiti Prihatin dengan memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada menikmati akses kepada pendidikan tinggi atas faktor kekangan kewangan.

Usaha itu turut menyokong aspirasi Pelan Strategik UMT 2023–2027 yang meletakkan kesejahteraan mahasiswa sebagai antara teras utama dalam melahirkan graduan yang berilmu, berdaya tahan, berdaya saing serta mampu
menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast