MUAR – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani, Datuk Ashari Md. Sarip mengalu-alukan usaha kerajaan meringankan beban rakyat termasuk pengurangan harga diesel menerusi inisiatif BUDI Diesel yang bermula hari ini.
Beliau berkata, apa juga bentuk bantuan dan kebajikan yang disalurkan kepada rakyat sewajarnya dihargai kerana ia dapat membantu menangani tekanan kos sara hidup.
“Apa yang penting, soal kos sara hidup dan pembangunan adalah tanggungjawab kerajaan dan semua yang diminta oleh rakyat, kerajaan perlu mendengarnya” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama Masyarakat DUN Maharani di Parit Raja Darat di sini hari ini.
Ashari diminta mengulas pelaksanaan pengurangan harga diesel menerusi BUDI Diesel bermula hari ini yang membolehkan pengguna menikmati harga bersubsidi RM2.10 seliter.
Menurut Ashari, kerajaan negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan untuk rakyat khususnya dalam menangani isu kos sara hidup dan usaha itu akan diteruskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Besar tadi, apa juga kebajikan untuk rakyat negeri Johor terutama berkaitan kos sara hidup memang telah dilakukan oleh kerajaan negeri dan diteruskan selepas PRN.
“Jadi tidak timbul soal kerajaan mengabaikan isu yang dibangkitkan rakyat berhubung kos sara hidup atau pembangunan,” katanya. – MalaysiaGazette
















