R.S. Thanenthiran

JOHOR BAHRU – Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk Seri RS Thanenthiran mempersoalkan sejauh mana pengundi Johor masih mahu mempercayai janji-janji yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tegas beliau, rakyat seharusnya membuat penilaian berdasarkan rekod pentadbiran dan prestasi sesebuah parti bukan sekadar manifesto serta janji yang diulang setiap kali musim pilihan raya.

Menurutnya, keputusan PRN Sabah sebelum ini yang menyaksikan DAP gagal memenangi mana-mana daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya membuktikan pengundi kini lebih cenderung menilai prestasi berbanding retorik politik.

“Berapa kali lagi rakyat mahu diberi janji yang sama? Setiap kali pilihan raya, pelbagai manifesto diumumkan, pelbagai janji ditaburkan dan pelbagai alasan diberikan.

“Namun selepas pilihan raya, rakyat pula yang terpaksa menanggung beban dan terus menunggu perubahan yang dijanjikan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Thanenthiran berkata, keputusan di Sabah seharusnya menjadi peringatan bahawa pengundi tidak lagi mudah menerima janji politik semata-mata sebaliknya menilai kemampuan sesebuah parti untuk menunaikan apa yang dijanjikan.

“Rakyat Johor bukan mudah dipermainkan dengan retorik politik. Johor memerlukan kepimpinan yang stabil, jelas hala tujunya dan mampu membawa pembangunan yang berterusan, bukannya politik yang dipenuhi pertelingkahan dan perebutan sesama sendiri.

“Jika benar mereka yakin mendapat sokongan rakyat, mengapa sehingga kini masih kelihatan sukar mencapai kesepakatan mengenai kepimpinan dan hala tuju? Rakyat berhak menilai sendiri siapa yang benar-benar bersedia mentadbir negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pilihan raya bukan sekadar memilih parti politik tetapi menentukan masa depan Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.

Justeru, katanya, pengundi perlu melihat kepada rekod, pencapaian serta kemampuan sesebuah parti dalam mentadbir sebelum membuat keputusan di peti undi.

Dalam masa sama, Thanenthiran berkata, Barisan Nasional (BN) menawarkan kepimpinan yang jelas di bawah Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi meneruskan agenda pembangunan Johor serta memastikan kesinambungan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan.

“Pilihan di tangan rakyat, sama ada mahu meneruskan kestabilan dan pembangunan atau mengambil risiko dengan ketidaktentuan politik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast