KUALA LUMPUR – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 akan memastikan undang-undang domestik kekal relevan dan efektif dalam memerangi jenayah siber secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga untuk memperkukuh dan membolehkan kerangka perundangan jenayah siber mapan dan berdaya tahan bagi menangani jenayah siber yang semakin kompleks.
“RUU itu juga bakal menangani jurang landskap perundangan sedia ada di negara ini bagi menjamin keharmonian undang-undang supaya sentiasa relevan, responsif dan selari evolusi pesat teknologi digital
“Penggubalan RUU yang menekankan prinsip teknologi neutral itu antara lain bakal memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) bagi memastikan negara memenuhi obligasi Konvensyen Budapest serta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB),” katanya menerusi bacaan kali kedua RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad Zahid berkata, RUU itu juga akan melindungi kepentingan awam serta menjamin keselamatan rakyat daripada ancaman siber, selain bakal dikuatkuasakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
















