BUTTERWORH – Dua beradik antara lima lelaki didenda RM3,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram bola sepak Piala Dunia FIFA 2026 secara menerusi laman judi dalam talian, bulan lalu.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu terhadap Ooi Wooi Loon, 41, Weeson Lim, 30, Lau Chee Boon, 30, Lau Chee Ewe, 28, dan Lee Boon Luun, 34, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara lima bulan sekiranya mereka gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kelima-lima lelaki terbabit didapati melakukan kesalahan bertaruh dalam permainan judi bola sepak Piala Dunia 2026 dengan menggunakan komputer jenama Dell dan melayari laman web perjudian laman web perjudian dikenali sebagai GO2WIN.BET dan NOVA88.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah Pangsapuri Marminton Homes, Lorong Cantik Permai 1, Butterworth di sini pukul 10.30 malam, 27 Jun lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Farihin Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Catherine Joysce Matthews Sandra yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman denda minimum atas alasan empat daripada tertuduh adalah penganggur kecuali Boon Luun bekerja sebagai jurujual dengan gaji RM2,600 sebulan dan perlu menanggung ibu bapa.
“Selain itu, Wooi Loon merupakan seorang duda yang mempunyai dua anak masih bersekolah manakala dua beradik, Chee Boon dan Chee Ewe, baru dibuang kerja,” katanya.
Kesemua mereka membayar denda tersebut.
Media pada 28 Jun lalu melaporkan kelima-lima tertuduh adalah antara 28 individu yang ditahan di Pulau Pinang menerusi Op Soga XI selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian bersempena Piala Dunia FIFA 2026 bermula 11 Jun lalu hingga 19 Julai ini.
Setakat ini, sebanyak 21 serbuan dijalankan di seluruh negeri ini bagi membanteras kegiatan pertaruhan bola sepak dan berjaya melumpuhkan dua pusat panggilan yang menjalankan operasi pertaruhan bola sepak. – MalaysiaGazette
















