Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada petang semalam, ditemukan meninggal dunia di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Baru, Sungai Sumun dekat Hutan Melintang malam tadi. Foto JBPM Perak

BAGAN DATUK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada petang semalam, ditemukan meninggal dunia di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Baru, Sungai Sumun dekat Hutan Melintang di sini malam tadi.

Difahamkan mangsa, Muhammad Faith Fatih Abdullah Fattah seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) ditemukan oleh orang awam sekitar 10.08 malam dipercayai kira-kira 330 meter dari rumahnya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan seorang kanak-kanak lelaki di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran rumah mangsa pukul 6.24 petang.

mangsa, Muhammad Faith Fatih Abdullah Fattah.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, bapa mangsa menyedari kehilangan anaknya apabila mendapati mangsa tiada di dalam rumah dan pintu hadapan rumah berada dalam keadaan terbuka.

“Usaha pencarian awal telah dilakukan oleh bapa mangsa di sekitar rumah serta kawasan kebun kelapa sawit berhampiran, namun gagal menemui mangsa dan laporan polis telah dibuat pada jam 3.30 petang berhubung kehilangan anaknya itu,“ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, selain bomba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut melibatkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

“Seekor anjing pengesan (K9) dari pasukan polis turut digunakan bagi membantu pencarian di sekitar kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumah mangsa,“ ujarnya.

Katanya, mangsa akhirnya ditemui oleh orang awam di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit itu sebelum pasukan bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pukul11.11 malam,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast