KULAI – Situasi kerusi panas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu ketika ini nampak tenang, hakikatnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sedang bersaing untuk merebut hati pengundi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, BN yakin untuk merebut kerusi tersebut daripada PH yang meletakkkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau yang juga calon kerusi DUN Bukit Permai berkata, ini kerana sokongan terhadap BN semakin meningkat tinggi dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
“Pada pilihan raya pada 2018 kita BN kalah dengan majoriti 10,057 undi tetapi pada PRN Johor lalu pula kita hanya kalah sedikit iaitu 137 undi dan di DUN Senai pula kita kalah 5,900 undi.
“Setakat ini (masuk hari kelima berkempen) saya dapat maklum balas yang baik daripada orang Melayu, Cina dan India, mereka memberi sokongan yang baik kepada calon-calon Barisan Nasional setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas melakukan bertemu orang ramai semasa berkempen di Pasar Malam Temenggong di sini hari ini.
Turut hadir calon BN DUN Bukit Batu, R Kumaran dan calon BN DUN Senai, Kiki Tai.
Katanya, walaupun terdapat parti-parti lain yang bertanding di DUN Bukit Permai dan DUN Bukit Batu dan DUN Senai tetapi persaingan utama BN adalah PH.
Mohd Jafni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor merayu pengundi di daerah ini di tiga DUN berkenaan untuk memberi sokongan terhadap calon BN.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.- MalaysiaGazette















