MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Bukit Naning, bertekad memperjuangkan penyelesaian isu lambakan nanas serta pembangunan Muar Furniture Park bagi menangani kebimbangan penduduk terhadap kehadiran warga asing sekiranya diberi mandat semula pada PRN Johor.
Md Ysahrudin Kusni berkata, masalah lambakan nanas bukan perkara baharu malah memuncak ketika pandemik Covid-19 apabila hasil tanaman gagal dipasarkan sehingga menyebabkan harga menjunam.

“Betul, isu nanas ni memang dalam perhatian kita sebab waktu Covid paling teruk apabila tak dapat dipasarkan. Masa jadi ADUN, kita beli nanas daripada pengusaha dan agihkan kepada masyarakat.
“Tapi sebenarnya ketika ini harga durian murah menyebabkan nanas pun teruk harganya sebab itu kita akan berhubung dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) untuk bantu cari pasaran,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Bekas ADUN Bukit Naning pada 2018 hingga 2022 itu berkata, lambakan berlaku kerana kebanyakan pekebun menjual kepada pasaran yang sama selain musim tuaian berlaku serentak.
“Kalau boleh dipasarkan ke luar, masalah ini mungkin dapat diselesaikan tapi bila semua dituai serentak, berlaku lambakan, harga jatuh dan peraih tak nak beli sebab bekalan terlalu banyak.
“Kita juga bincang cari syarikat yang boleh proses nanas jadi jem supaya hasil itu tidak dibuang.
“Kalau dipilih, kita akan berbincang dengan badan-badan berkaitan untuk cari pasaran yang lebih besar dan penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Menurut beliau, terdapat kira-kira tujuh atau lapan pengusaha nanas berskala besar di kawasan itu selain ramai pekebun kecil, dengan lambakan hasil pernah mencecah antara enam hingga tujuh tan malah ada kalanya sehingga 20 hingga 30 tan.
Mengulas isu warga asing di Batu 5 dan Jalan Bakri yang berpunca daripada kepadatan industri kilang perabot di kawasan berkenaan, Ysahrudin berkata, penyelesaian jangka panjang ialah mempercepatkan pembangunan Muar Furniture Park di Bakri.
“Warga asing tu sebenarnya kita nak selesaikan melalui Muar Furniture Park dan kalau taman perabut itu siap yang menempatkan hampir 100 kilang, pekerja asing akan ditempatkan dalam satu kompleks.
“Cuma sekarang masih ada beberapa isu seperti tapak serta bekalan air dan elektrik yang belum selesai,” katanya.
Tambah beliau, apabila ia siap kelak, pekerja asing kebanyakkanya warga Bangladesh tak perlu lagi keluar kerana ada asrama, masjid dan pasar raya dalam kawasan itu.
“Jadi mereka tidak mengganggu masyarakat luar sebab itu jika saya diberi mandat, ia adalah antara yang akan saya perjuangkan ialah melihat projek ini terus direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan yang telah lama dirancang kini sedang berjalan namun masih perlahan walaupun kerja-kerja awal seperti pembinaan pintu gerbang dan papan tanda telah dimulakan. – MalaysiaGazette
















