Adib Raop. Foto FB Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Bekas bek kiri Penang, Adib Raop kini sah menjadi pemain baharu ketiga Selangor FC untuk menghadapi Liga Malaysia musim 2026/27.

Perpindahan pemain berusia 27 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning di semua platform rasmi mereka hari ini.

Menurut Adib yang juga bekas pemain Harimau Malaya, dia sangat bangga menyertai Selangor FC dan tidak sabar beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Merah Kuning.

“Merupakan satu penghormatan buat saya menyertai Selangor FC. Saya teruja untuk memulakan cabaran baharu ini dan akan memberikan yang terbaik bagi membantu pasukan mencapai kejayaan.

“Saya tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong setia Red Giants dan berjuang bersama-sama demi Merah Kuning,” katanya dalam satu kenyataan di laman media sosial milik Selangor FC.

Sementara itu, Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon menyifatkan Adib memiliki ciri-ciri dan kualiti yang amat bertepatan dengan identiti serta corak permainan yang ingin diterapkan di kelab itu.

“Adib merupakan seorang pemain yang memiliki kekuatan fizikal, kepantasan, mentaliti menyerang serta pendekatan yang agresif di atas padang. Profilnya amat bertepatan dengan identiti dan corak permainan yang ingin kami terapkan di Selangor FC.

“Kami teruja untuk menyaksikan tenaga, intensiti dan kekuatan pertahanan yang akan dibawanya kepada pasukan, dan saya percaya beliau akan memberikan sumbangan yang besar sepanjang musim ini,” katanya.

Kelibat Adib telah lama dipantau Pan Gon ketika menjadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya pada 2024.

Dia merupakan pemain ketiga yang menyertai The Red Giants selepas A.Selvan dan bekas pemain tengah Sri Pahang FC dan Kelantan TRW, Nor Azam Azih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast