KULAI – Harga diesel tanpa subsidi yang turun 10 sen kepada RM3.97 seliter berkuat kuasa hari ini didakwa tidak memberi kesan terhadap harga barang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, harga barang tetap sama selepas kenaikan harga diesel sebelum ini kerana tiada mekanisme mengawal harga barang.
“Sepatutnya (harga barang turun apabila harga diesel) turun. Sebab harga diesel ini sepatutnya kita kawal. Sebab apa? Harga diesel ini bila kita naikkan hari itu, semua rangkaian barangan semua naik.
“Bila semua naik (harga barang) naik. Pernah tak harga minyak turun, (harga) barang turun? Tak pernah.
“Sepatutnya kita ada mekanisme sesuai, bila kita nak naikkan harga diesel, kita kena ada kawalan itu (kawalan apabila harga diesel naik, harga barang tetap sama),” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulai itu.
Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas bertemu orang ramai semasa berkempen di Pasar Malam Temenggong, Senai di sini hari ini.

Turut hadir calon BN DUN Bukit Batu, R Kumaran dan calon BN DUN Senai, Kiki Tai yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini
Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 1 Julai hingga 8 Julai 2026 turun sebanyak 10 sen seliter, selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan, harga runcit RON97 diturunkan kepada RM4.00 seliter berbanding RM4.10 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun kepada RM3.37 seliter daripada RM3.47.
Mengulas lanjut, Mohd Jafni yang mempertahankan kerusi DUN Bukit Permai berkata, walaupun rakyat dimaklumkan bahawa barangan terkawal, realiti sebenarnya adalah berbeza.
“Kita pun merasai juga. Sebab itu hari ini rakyat dia tak nak lihat siapa yang hebat bercakap. Siapa yang pandai bercakap. Tetapi dia nak tengok apa yang rakyat dapat. Apa yang rakyat rasa. Kos hara hidup tinggi,” ujar beliau.
Mohd Jafni berkata, sebab itu apabila berdepan konflik di Asia Barat, kerajaan Johor kurangkan bajet perbelanjaan dan beri peruntukan kepada rakyat.
“Kita keluarkan duit lagi, beri pada rakyat supaya rakyat itu boleh bayar sewa van, boleh bayar beli buku anak-anak dan boleh belanja di kedai-kedai runcit.
“Jadi ekosistem atau fiskal ekonomi itu dia akan berpusing. Jadi walaupun minyak itu naik, tetapi sebab ada bantuan tunai daripada kerajaan yang banyak melibatkan hampir setengah juta, setengah bilion ringgit melibatkan satu juta orang daripada empat juta rakyat Johor ini, jadi rakyat menikmati benda itu.
“Jadi semua peniaga kecil boleh belanja dan sebagainya. Ini yang kita praktikkan. Kita dalam keadaan yang macam ini, kita tak guna cakap polisi yang hebat, perkara-perkara pencapaian yang hebat tetapi rakyat di bawah tak merasainya,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















