Abdul Khalib Abdullah

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen mencadangkan supaya pesalah yang memuat kandungan video palsu atau ‘deepfake’ berunsur lucah dikenakan hukuman sebatan mandatori.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, hukuman berat itu bagi memberi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak mengulangi perbuatan sama.

“Rompin mencadangkan pesalah deepfake lucah ini dikenakan hukuman sebatan mandatori.

“Ini kerana ia memberi impak kemudaratan psikologi kepada mangsa yang mengalami trauma seumur hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Khalib memberitahu, individu yang menjadi mangsa video palsu berdepan dengan trauma emosi berpanjangan.

Malah jelasnya, terdapat kes di luar negara yang menyaksikan mangsa bertindak membunuh diri kerana berdepan pemalsuan identiti bagi kes memalukan sedemikian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membacakan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber 2026 berkata, penggubalan itu penting bagi memastikan undang-undang domestik kekal relevan dan efektif dalam memerangi jenayah siber secara tuntas.

Menurutnya, penggubalan RUU berkenaan antara lain memperkukuh dan memastikan kerangka perundangan jenayah siber mapan dan berdaya tahan bagi menangani jenayah siber yang semakin kompleks. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast