KUALA LUMPUR – Pengusaha syarikat pengangkutan dan kenderaan perdagangan digesa mengambil tanggungjawab lebih proaktif dengan melaksanakan ujian saringan dadah secara berkala terhadap pemandu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, ia sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan risiko kemalangan di jalan raya.
Menurut beliau, isu pemandu kenderaan perdagangan yang berada di bawah pengaruh dadah masih membimbangkan dan memerlukan komitmen semua pihak termasuk industri pengangkutan.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi tanpa penglibatan aktif syarikat dalam aspek pemantauan dalaman terhadap pekerja masing-masing.
“Kita harapkan sangat-sangat pengusaha kenderaan di luar sana dapat melaksanakan ujian saringan secara berkala. Kalau boleh, seminggu sekali atau sebulan sekali. Ini bukan beban, tetapi tanggungjawab kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Kejayaan JSPT dalam Operasi Bersepadu tangani pemandu kenderaan perdagangan di bawah pengaruh dadah bersama JSJN dan AADK di sini hari ini.
Menurut Muhammed Hasbullah, langkah itu penting bagi memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak, kompeten dan bebas daripada pengaruh dadah berada di jalan raya, khususnya melibatkan kenderaan berat seperti lori, treler dan bas.
Dalam perkembangan sama, operasi bersepadu yang dijalankan dari April hingga Jun 2026 merekodkan 135 tangkapan hasil 713 ujian saringan air kencing, dengan majoriti melibatkan pemandu kenderaan perdagangan.
“Jangan kita perjudikan keselamatan pengguna jalan raya semata-mata untuk keuntungan. Satu kesilapan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















