Tujuh pemain warisan negara iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Hector Hevel digantung 12 bulan oleh FIFA.

KUALA LUMPUR – Urusan pemilihan pemain bagi mewakili pasukan kebangsaan adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan induk bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kementeriannya tidak terlibat dalam proses pemilihan pemain namun sentiasa menyokong usaha memperkukuh tadbir urus sukan dan memastikan setiap badan sukan beroperasi selaras dengan peraturan serta standard yang ditetapkan oleh badan induk sukan antarabangsa.

Jelasnya, bagi memastikan pemilihan pemain dilaksanakan secara telus, teratur dan berintegriti, proses pemilihan pemain oleh FAM bagi pasukan kebangsaan dipantau secara berterusan melalui penyertaan dalam pertandingan domestik seperti Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA, Liga A1 Semi-Pro dan pertandingan lain yang
berkaitan.

“Proses juga melibatkan restasi pemain Malaysia yang beraksi di luar negara turut
dipantau; analisis dibuat terhadap statistik prestasi pemain seperti minit permainan, jaringan gol, bantuan gol, dan indikator prestasi lain mengikut posisi pemain;

“Selain itu, tahap kecergasan, rekod kecederaan dan kesediaan pemain untuk menyertai kem latihan serta pertandingan antarabangsa dinilai dan pemilihan mengambil kira kesesuaian pemain dengan falsafah permainan, sistem taktikal dan keperluan posisi yang ditetapkan oleh ketua jurulatih diambil kira.

“Pada masa sama, proses melibatkan senarai calon pemain dibincangkan dan diperhalusi oleh ketuajurulatih bersama barisan kejurulatihan sebelum keputusan akhir dibuat dan pemain yang terpilih dipanggil menyertai kem latihan pusat untuk penilaian akhir sebelum disenaraikan bagi mewakili pasukan kebangsaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan susulan kontroversi melibatkan tujuh pemain naturalisasi dan warisan yang menimbulkan persoalan mengenai kelayakan serta pematuhan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan apakah langkah kerajaan dan pihak berkaitan bagi memastikan proses pemilihan pemain dilaksanakan secara telus, teratur dan berintegriti.

Mengulas lanjut, Mohammed Taufiq berkata, antara langkah kerajaan adalah melalui perbincangan dan sesi libat urus yang berterusan antara Kementerian Belia dan Sukan dengan FAM bagi memastikan urus tadbir bola sepak negara dapat dilaksanakan selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik, integriti dan pematuhan kepada peraturan FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Katanya, selaras dengan saranan AFC, FAM kini sedang memperkukuh aspek tadbir urus melalui penganjuran kongres luar biasa pada 4Jun lalu yang terdiri daripada 18 Ahli Gabungan FAM.

“Kongres  ini diadakan bertujuan untuk mempertingkatkan lagi tahap integriti dan kredibiliti bola sepak negara. Susulan itu, kongres tersebuttelah meluluskan pindaan Statut FAM seperti yang dicadangkan oleh AFC.

“Pindaan tersebut melibatkan penstrukturan semula kepimpinan, pengukuhan syarat kelayakan jawatan utama, penambahbaikan sistem keanggotaan dan reformasi tadbir urus organisasi bagi memperkukuh integriti, ketelusan serta profesionalisme pengurusan bola sepak negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast