PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan projek solar hibrid didengar selama 16 hari bermula 1 September ini.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azhahari Kamal Ramli menangguhkan rayuan yang sepatutnya didengar hari ini bagi membolehkan permohonan semakan isteri bekas Perdana Menteri di Mahkamah Persekutuan dilupuskan terlebih dahulu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan K. Muniandy menetapkan rayuan bermula 1 hingga 4 September, 8 hingga 11 dan 21 hingga 30 September.
Hakim Azhahari berkata, panel tersebut mengambil maklum surat jawapan daripada Presiden Mahkamah Rayuan bertarikh 10 Oktober 2024 ketika membenarkan penangguhan rayuan kes solar.
Menurut beliau, surat itu ditafsirkan membawa maksud bahawa rayuan utama (sabitan dan hukuman kes solar) perlu ditangguhkan sehingga semua prosiding berkaitan kes itu termasuk semakan, selesai dan dilupuskan.
Hakim Azhahari selanjutnya mengingatkan semua pihak bahawa mahkamah tidak akan berkompromi dengan sebarang penangguhan lagi dan menjangkakan bahawa pendengaran rayuan akan selesai pada 30 September ini.
“Kes ini telah berlarutan terlalu lama sejak 2022, kami tidak akan berkompromi dengan sebarang penangguhan lagi. Rayuan akan didengar pada tarikh yang ditetapkan.
“Jika prosiding rayuan selesai lebih awal (sebelum 30 September), tarikh-tarikh selepas itu akan dilapangkan,” ujar beliau.
Terdahulu, pasukan pembelaan diwakili peguam Datuk Jagjit Singh memohon penangguhan atas alasan pendengaran semakan Rosmah telah ditetapkan pada 29 Julai ini.
Menurut Jagjit, semakan itu bagi menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (hakim bicara kes Rosmah) berhubung isu kebocoran penghakiman kes tersebut.
Peguam turut memohon mahkamah memberi pertimbangan terhadap tragedi yang menimpa keluarga seorang lagi peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang kehilangan anak lelaki yang terlibat dalam kemalangan, dua bulan lalu.
“Peguam tersebut masih bersedih dengan kehilangan anak lelakinya dalam kemalangan tersebut,” ujarnya dengan nada sebak.
Jagjit berkata, pembelaan memerlukan kehadiran Akberdin dalam prosiding rayuan kerana peguam tersebut menyiapkan penghujahan bertulis dalam jumlah yang banyak manakala pihaknya menyiapkan hujahan lisan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai memaklumkan, pihak pendakwaan membantah penangguhan dan beliau mendapat arahan untuk meneruskan prosiding rayuan hari ini.
Mahkamah sepatutnya mendengar rayuan Rosmah untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas mendapati Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah.
Beliau yang kini hakim Mahkamah Rayuan turut memerintahkan agar Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun jika gagal membayar denda.
Prosiding rayuan tersebut tidak didengar sebelum ini ekoran beberapa permohonan Rosmah berkaitan kes solar.
Terbaharu, pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Rosmah untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini atas alasan tiada kekhilafan yang berlaku sehingga mewajarkan campur tangan mahkamah.
Beliau mensabitkan Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn, Bhd., Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor sebagai dorongan membantu syarikat itu memperoleh projek solar berkenaan.
Beliau juga didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016 dan RM1.5 juta daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017. – MalaysiaGazette
















